Monday, October 21

Manfaatkan media sosial dengan sebaiknya: Ripin

0

MIRI: Generasi muda harus memanfaatkan media sosial dengan sebaiknya dan bukannya menggunakan saluran berkenaan untuk tujuan tidak berfaedah seperti menyebarkan hasutan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata generasi muda perlu bijak dalam menapis maklumat dalam media sosial dan tidak mudah terpengaruh dengan isu-isu yang tidak tepat.

“Generasi sekarang bukan sahaja terdedah dengan kepesatan teknologi maklumat, tetapi juga terdedah dengan perkara-perkara yang boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

“Golongan berkenaan harus tahu bahawa media sosial ini bukan sahaja membawa kebaikan tetapi juga boleh memberi impak negatif jika disalahgunakan,” katanya di sini.

Ripin menjelaskan, adalah amat penting ibu bapa memantau aktiviti anak-anak semasa melayari media sosial bagi memastikan anak-anak tidak menyalahgunakan saluran terbabit.

“Tidak salah menggunakan media sosial untuk mencari maklumat atau sebagainya namun jika bagi tujuan yang mendorong ke arah gejala negatif, ibu bapa harus melakukan pemantauan,” jelasnya.

Menurutnya, penyebaran dakyah tidak benar dalam media sosial boleh memberi kesan buruk jika dibaca oleh orang lain bahkan boleh menggugat ketenteraman awam.

“Saya menasihati generasi muda menggunakan media sosial untuk meningkatkan komunikasi dan perpaduan di kalangan mereka atau bertukar-tukar idea bernas,” ujarnya.

Sementara itu, berikutan negara bakal menyambut Hari Kemerdekaan Ke-56 maka sewajarnya generasi muda bersama-sama mengambil bahagian menghayati peristiwa bersejarah itu.

“Generasi sekarang perlu mengenang jasa pejuang terdahulu yang telah mempertahan negara pada zaman pemerintahan komunis dan British.

“Tanpa sumbangan dan pengorbanan wira-wira negara, tidak mungkin generasi hari ini akan dapat menikmati keamanan dan ketenteraman yang telah dikecapi selama 56 tahun,” katanya.