Perjelaskan tentang kemajuan negeri sejak merdeka kepada rakyat: Harden

0

SRI AMAN: Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Datuk Francis Harden Hollis berpesan kepada kakitangan jabatan kerajaan dan ketua masyarakat agar menjelaskan kepada rakyat tentang kemajuan yang telah dicapai di bahagian Sri Aman sejak Sarawak mencapai kemerdekaan 50 tahun lalu.

Menurutnya, sambutan Hari Kemerdekaan bukan sahaja dengan mengibarkan Jalur Gemilang malah harus diperjelaskan tentang kemajuan pembanguan yang berlaku di bandar ini sejak merdeka.

Harden berkata dengan berbuat demikian kita dapat menangkis dakwaan pembangkang bahawa Sri Aman kurang membangun sedangkan hari ini sedang rancak dalam proses pembangunan.

“Lantaran itu, anda semua harus memberitahu kepada rakyat jelata apa proses pembangunan sudah tersegam indah di bandar ini sejak kita mencapai kemerdekaan.

“Sekali gus dapat menangkis dakwaan pembangkang yang begitu sibuk mencari kelemahan kerajaan Barisan Nasional (BN) termasuk diri saya selaku wakil rakyat di kawasan ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Pameran 50 Tahun Sarawak Merdeka Dalam Malaysia Peringkat Bahagian Sri Aman.

Sebanyak 13 agensi kerajaan di bahagian Sri Aman terlibat dalam pameran yang akan diadakan selama 10 hari di Dewan Suarah Sri Aman itu.

Harden yang juga Menteri Muda Perumahan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang menyeru agensi kerajaan dan ketua-ketua masyarakat agar memberitahu rakyat agar datang ke pameran itu untuk menyaksikan proses pembangunan dan tokoh pemimpin dahulu dan hari ini yang turut membangunkan Sri Aman.

“Saya cadangkan agar agensi yang bertanggungjawab memberitahu kepada pengetua dan guru besar sekolah untuk mengarahkan mereka menghantar pelajar masing-masing menyaksikan bahan-bahan yang dipamerkan di Dewan Suarah ini,” katanya.

Turut hadir Timbalan-timbalan Residen Sri Aman iaitu Hamsein Attar dan Hamdan Katang serta Pegawai Tadbir Daerah Lubok Antu Langgong Wasam dan ketua-ketua masyarakat sekitar Sri Aman.