Rakyat perlu menunjukkan semangat patriotisme kibarkan Jalur Gemilang

0

MIRI: Rakyat di negeri ini perlu menunjukkan semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kemerdekaan Ke-56 dan bukannya menunggu surat pekeliling untuk berbuat demikian.

Penghulu Kampung Piasau Utara Samion Ghani berkata semangat cintakan negara harus disemai dalam diri masyarakat Malaysia bermula dari peringkat prasekolah dengan menghayati jasa pejuang kemerdekaan terdahulu.

“Sekarang semangat cintakan negara seolah-olah pudar bahkan hanya segelintir sahaja rakyat Malaysia yang masih menghayati kemerdekaan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya di sini semalam.

Menurutnya, masih terdapat rumah, bangunan komersial dan kerajaan di sini masih belum mengibarkan Jalur Gemilang walapun semalam sudah masuk 26 Ogos.

“Ini menunjukkan masih terdapat masyarakat kita kurang peka atau menghayati Hari Kemerdekaan negara sedangkan pelbagai saranan dan kempen telah dilaksanakan kerajaan,” jelasnya.

Samion berkata, rakyat perlu menghargai jasa pejuang kemerdekaan terdahulu kerana tanpa jasa dan semangat mempertahankan negara, rakyat hari ini tidak akan dapat kenikmati keamanan seperti negara lain yang sedang bergolak.

“Kita perlu menanam semangat patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bukannya menunggu surat pekeliling untuk berbuat demikian,” tegasnya.

Tambah beliau, menaikkan Jalur Gemilang di kediaman, bangunan, sekolah serta kenderaan merupakan satu tindakan yang tepat dan harus diamalkan.

“Sebagai rakyat Malaysia tidak kira di bandar dan luar bandar, kita harus bersama-sama meraikan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-56 dengan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda setia kepada negara,” jelasnya.

Beliau jturut menggalakkan orang ramai menghias bangunan pejabat dan premis perniagaan, rumah dan kenderaan serta menyanyikan lagu-lagu patriotik bagi membangkitkan semangat kemerdekaan.

“Kita tidak mahu ada di kalangan mereka mengibar Jalur Gemilang kerana terpaksa sebaliknya ia adalah sebagai tanda peringatan kita kepada pejuang kemerdekaan yang berjuang habis-habisan mempertahankan kedaulatan negara,” katanya.