Sunday, October 17

Cabaran Makan ‘Giant Sharwarma’ di The Raintree Cafe bermula

0

KUCHING: The Raintree Café merasmikan Cabaran Makan ‘Giant Sharwarma’ yang bakal menemui pengunjung pada setiap hujung minggu bermula semalam hingga 29 September kelak.

Cabaran makan itu merupakan pertandingan yang julung kali diadakan sempena pembukaan cawangan baharu The Raintree Café di bawah seliaan Restoran The Raintree Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di Plaza Merdeka.

Menurut Eksekutif Pemasaran dan Perhubungan Awam BCCK Nur Salfiah Bujang, hidangan Sharwarma adalah hidangan tarikan utama restoran tersebut yang mendapat permintaan amat menggalakkan daripada pengunjung restoran sebelum ini.

“Memandangkan hidangan ini sangat terkenal dan mendapat permintaan tinggi daripada orang ramai, maka kami telah memasukkan hidangan Sharwarma dalam senarai menu di kafe kami yang baharu sahaja beroperasi sejak Jun lalu.

“Ia merupakan hidangan yang berasal dari Timur Tengah dan kami ketengahkan hidangan tersebut ke sini memandangkan respons pengunjung restoran kami yang sebelum ini amat meminatinya,” katanya kepada pemberita pada pertandingan Cabaran Makan ‘Giant Sharwarma’ di sini semalam.

Dua peserta pertama bagi pertandingan cabaran makan tersebut adalah Allan Gineng, 35, dan Leevan Cliff, 34, bagaimanapun gagal menghabiskan hidangan ‘Giant Sharwarma’ dalam masa 30 minit yang telah ditetapkan pihak juri.

Hidangan ‘Giant Sharwarma’ merupakan hidangan ayam yang telah diperap dengan pelbagai adunan dan dicampur bersama potongan sayuran seperti timun, kobis dan tomato serta disajikan bersama sos cili dan mayonis bawang putih.

Selain itu, hidangan ayam tersebut turut dibalut dengan kepingan Roti Rata Lubnan yang diperbuat daripada tepung gandum.

Menurut cef tempatan dari Restoran The Raintree Chef Binyas Suem, penghasilan ‘Giant Sharwarma’ ini memerlukan kesungguhan dan ketelitian yang menyeluruh bagi menghasilkan rasa yang cukup menyelerakan.

“Pembuatan Sharwarma ini tidak susah tetapi ia perlu dilakukan dengan begitu teliti bagi mengekalkan keaslian rasanya.

“Kami hanya memerlukan 30 minit bagi menyiapkan sebiji ‘Giant Sharwarma’ ini,” katanya.

Pendaftaran bagi cabaran makan tersebut telah dibuka bermula semalam dan orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan tersebut juga boleh mendaftar 30 minit sebelum pertandingan bermula.

Wang penyertaan pertandingan RM50 akan dikembalikan kepada peserta yang mendaftar sekiranya mereka berjaya menghabiskan hidangan ‘Giant Sharwarma’ dalam masa 30 minit.

Setiap pemenang cabaran makan tersebut akan menerima kemeja-T yang direka khas dan mereka turut berpeluang menandatangani kemeja- T tersebut serta akan dibingkai sebagai kenangan di The Raintree Café.