Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang edar 5,000 helai Jalur Gemilang

0

KUCHING: Sebanyak 5,000 helai Jalur Gemilang telah diedarkan di beberapa lokasi di Sarawak sepanjang Kembara Merdeka Jalur Gemilang yang bermula 16 Ogos lalu manakala 5,000 lagi disasar untuk diedarkan sebelum Hari Malaysia pada 16 September ini.

Menurut Ketua Konvoi Helmy Hamid, konvoi itu turut mengedarkan bendera Sarawak selain Jalur Gemilang.

“Secara keseluruhannya kami ada 10,000 bendera di mana separuh telah diedarkan manakala selebihnya akan diedarkan sebelum Hari Malaysia nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Sambutan Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang di Tebingan Kuching di sini yang disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Penerangan Zaini Mohamad, semalam.

Helmy berkata, kembara itu turut menyampaikan sumbangan kepada 200 penerima dalam bentuk makanan, barangan keperluan harian serta wang tunai kepada golongan memerlukan di 11 bahagian.

Bertemakan ‘Negaraku Berdaulat; Malaysia Tanah Tumpah Darahku’, kembara yang bermula dari Lawas sebelum tiba di bandar raya ini, akan meneruskan perjalanan ke Samarahan bagi mempromosikan semangat mengibarkan Jalur Gemilang.

Konvoi itu secara puratanya mengedarkan bendera kepada 30 kereta dan 20 motosikal di setiap daerah dan ia disertai 330 kenderaan dan 220 motosikal di mana di Sibu dan Bintulu, 60 daripada jumlah itu adalah motosikal berkuasa tinggi.

“Program ini mendapat sambutan menggalakkan lebih-lebih lagi daripada jabatan-jabatan kerajaan serta masyarakat kampung,” katanya.