Parti baharu bukan saingan parti kepimpinan unggul

0

MIRI: Parti politik yang baharu ditubuhkan bukanlah saingan kepada parti yang ternyata mempunyai barisan kepimpinan unggul.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau memberitahu bahawa tidak ada faedah untuk menubuhkan sesebuah parti jika tahu ia tidak mempunyai kekuatan.

“Jika tahu diri sebenarnya lemah (daripada aspek kepimpinan), mengapa tubuhkan juga parti politik baharu?” soalnya ketika dihubungi di sini semalam bagi mengulas penubuhan beberapa parti baharu yang dikhabarkan mendaftar dengan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Menurutnya, tunjang kepada kekuatan parti politik terletak 100 peratus kepada kewibawaan pemimpinnya.

“Lihat sahaja Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lain di peringkat negeri dan nasional ternyata masih kekal sehingga sekarang,” ujarnya.

Dalam kepimpinan sesebuah parti politik, pengalaman dan kestabilan pemimpin berkenaan bakal menentukan hala tujunya.

Bukan sahaja itu, Dennis turut memberitahu bahawa di peringkat negeri, parti-parti komponen BN masih relevan sehingga sekarang.

“Saya rasa kita (semua parti komponen BN) gembira dan puas hati dengan pencapaian masing-masing, tidak ada alasan untuk parti baharu ditubuh,” katanya.

Bukan sahaja komponen BN terdiri daripada himpunan parti yang mempunyai banyak pengalaman dan perkhidmatan kepada masyarakat, malah ia tercatat dalam sejarah masih dapat mengekalkan kewujudan dan kekuatan.

“Saya setuju bahawa kewujudan parti baharu (jika ada) tidak akan kekal lama sebagaimana dalam lakaran sejarah,” tambahnya.

Baru-baru ini, ROS dikhabarkan berkemungkinan meluluskan sebanyak 20 parti baharu di seluruh negara di mana lima daripadanya berpusat di Sarawak.

Ia adalah Parti Rakyat Bersatu (SUPP), Parti Tenaga Rakyat (TERAS), PBDS Baharu, Parti Peace dan Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB).