Sekolah luar bandar yang uzur akan diberi perhatian

0

KUCHING: Kerajaan akan mempertimbangkan dan memberi perhatian terhadap sekolah-sekolah luar bandar di Sarawak yang sudah uzur dan perlu diperbaiki.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata, malah situasi dan perkara berkenaan sekolah uzur di luar bandar itu telah dibincangkan dengan Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini.

“Mesyuarat Jawatankuasa Exco Pelajaran Negeri pada 29 Ogos lalu yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri (Muhyiddin), telah membincangkan mengenai keadaan sekolah di luar bandar Sarawak.

“Daripada senarai utama yang diberikan oleh Jabatan Pelajaran Sarawak, ia telah dipersetujui (untuk diberi perhatian),” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Borneo di sini, semalam.

Pada 29 Ogos lalu, akhbar Borneo Post menyiarkan lebih 30 sekolah di kawasan Parlimen Hulu Rajang amat memerlkan kerja pembaikan.

Kebanyakan sekolah berkenaan usang dan buruk dan Ahli Parlimen Hulu Rajang Wilson Ugak Kumbong telah berjanji untuk mengutamakan kerja memperbaiki dan menaik taraf sekolah-sekolah tersebut.

Katanya di Hulu Rajang yang merangkumi dua Dewan Undangan Negeri iaitu Baleh dan Belaga, sekurang-kurangnya 30 sekolah berada dalam keadaan uzur dan memerlukan kerja menaik taraf dengan segera.

“Bagi saya, saya akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan peruntukan bagi semua sekolah ini supaya ia dapat diperbaiki dan dibina semula.

“Ini adalah keutamaan bagi saya, memandangkan rakyat telah memilih saya mewakili mereka di Parlimen,” kata Ugak.