SUPP perlu kembali kegemilangan, ingati sumbangan ahli pengasas Chan Siaw Hee

0

KUCHING: Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) perlu mengembalikan zaman kegemilangannya susulan pemergian ahli pengasas parti Datuk Chan Siaw Hee.

Menurut Ketua Cawangan SUPP Sibu Dato Sri Wong Soon Koh yang juga Menteri Kanan dalam kabinet negeri, parti patut sentiasa mengingati sumbangan besar yang diberikan Chan serta mencontohinya dengan mengetepikan agenda peribadi demi kepentingan SUPP.

“Sumbangan beliau dan usaha gigihnya bagi membawa pembangunan dalam politik, ekonomi, budaya dan pendidikan terutama dalam parti dan pendidikan Cina perlu dipuji.

“Beliau merupakan ‘role model’ untuk semua ahli termasuk saya sendiri. Walaupun beliau pergi selama-lamanya meninggalkan kita, semangat perjuangannya akan kekal bersama kita dalam SUPP dan ini perlu diingati oleh golongan muda,” katanya ketika ditemui selepas memberi penghormatan terakhir di kediaman mendiang Chan di Jalan Foochow No. 1 di sini, semalam.

Wong turut membawa bersama sebuah buku bertajuk Along The Way, yang ditulis oleh Chan.

Bahan bacaan itu diserahkan kepadanya oleh Chan sedekad yang lalu.

“Beliau menyampaikan buku ini kepada saya 10 tahun yang lalu semasa saya mengadakan perbincangan dengannya.

“Buku ini adalah mengenai sejarah Sarawak yang kita semua boleh baca dan berkongsi dengan satu sama lain,” katanya.

Hadir sama, Menteri Muda Kesihatan Awam Dr Jerip Susil, Setiausaha Politik Ketua Menteri Ku Fut Po, Temenggung Lu Kim Yong, Pemanca Ko Wai Neng, Pemanca Liu Thian Leong dan Penolong Setiausaha Penerangan dan Publisiti SUPP Sih Hua Tong yang juga merupakan ketua cawangan Batu Lintang.

Sih berkata, Chan telah mengabadikan hidupnya kepada parti dan sebagai salah seorang pengasas, kepentingan parti amat penting kepada veteran tersebut.

“Beliau merupakan seorang pemimpin dan pengasas yang amat berpegang kukuh dengan prinsip-prinsip.

“Dia tidak akan melepaskan prinsip yang baik untuk parti dan rakyat dan tidak mudah menyerah kepada tekanan luar,” katanya.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir kepada Chan ialah Pengerusi Sekolah Menengah Chung Hua No. 1 hingga 6 Dr Chou Chii Ming dan Presiden Persatuan Teochew Kuching Kapitan Tan Kit Leng.

Chan meninggal dunia pada hari Khamis pada usia 94 tahun.

Jenazah beliau akan meninggalkan kediaman esok (2 September) pada jam 10 pagi, melalui Jalan Padungan, Tokong Tua Pek Kong, ibu pejabat SUPP dan kemudian akan disemadikan di Tanah Perkuburan Hokkien, Jalan Batu Kitang, Batu 8, di sini.