SWP terdesak menyertai DAP

5

KUCHING: Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Negeri Datuk Stephen Rundi Utom percaya bahawa keputusan Parti Pekerja Sarawak (SWP) memihak kepada Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai tindakan terdesak dan demi kelangsungan parti itu dalam politik.

“Saya percaya kerana terdesak dan demi kelangsungan politik, mereka (SWP) memihak kepada DAP dan tidak mempedulikan perjuangan masyarakat Dayak,” katanya melalui sistem pesanan ringkas (SMS) di sini,semalam.

Beliau menegaskan bahawa SWP menunjukkan belangnya yang sebenar dengan niat untuk bersekongkol dengan DAP selepas masyarakat Dayak kebanyakannya kaum Iban menolak parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 5 Mei lalu.

SWP yang pernah menyatakan mesra BN sebelum PRU13, bagaimanapun tewas di semua enam kerusi yang disandang oleh parti kompenan BN, Parti Rakyat Sarawak (PRS).

Dr Rundi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena turut berkata, SWP hanya ada kepentingan peribadi.

Beliau percaya, kerjasama antara SWP dan DAP tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Dayak terhadap BN.

“Kerjasama mereka tidak akan menjejaskan sokongan masyarakat Dayak terhadap BN selagi BN meneruskan program transformasi untuk meningkatkan taraf hidup penduduk luar bandar,” kata Menteri Muda Kemudahan Awam (Bekalan Elektrik dan Telekomunikasi) itu.

Sementara itu pada Khamis lepas, Presiden SWP Larry Sng dilaporkan berkata parti itu bersedia untuk bekerjasama dengan DAP.

“SWP dan DAP sepakat mengenai keperluan untuk memaksimumkan kekuatan kami dari segi jumlah, kami harus menggabungkan sumber kami dan mengemaskinikan mesej agar kami tidak dianggap sebagai pakatan yang longgar tetapi alternatif yang serius kepada kerajaan sekarang,” kata Larry dipetik sebagai berkata.