Bina badan catat pelbagai kejayaan bersejarah sejak 50 tahun

0

RASMI: Abang Wahap (kiri) memukul gong merasmikan Kejohanan Mr Jubli Emas Sarawak 2013 sambil disaksikan oleh Wee (kiri), Nolan (kanan) dan Steve (dua kanan) di Kuching kelmarin.

KUCHING: Persatuan Bina Badan Sarawak (SBBA) mencatat pelbagai kejayaan bersejarah sejak ditubuhkan 50 tahun lalu.

Presidennya, Dato Wee Hing Seng juga telah melahirkan ramai atlet bina badan yang berjaya mengharumkan nama negeri di pentas kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Atlet kita pernah menjuarai Kejohanan Mr Borneo pada 2010 dan 2011. Malah, kita juga muncul naib juara keseluruhan pada kejohanan Mr Malaysia di belakang PDRM baru-baru ini,” katanya ketika merasmikan Kejohanan Mr Sarawak Jubli Emas 2013 di Plaza Merdeka, di sini semalam.

“Selain itu, atlet kita iaitu Nolan Chee yang juga penganjur kejohanan ini juga banyak mengharumkan nama negeri di pentas antarabangsa. Baru-baru ini beliau menjuarai Kejohanan Mr Hong Kong dan Kejohanan Natural Bodybuilding Australia,” katanya.

Turut hadir Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, Pengarah Urusan Plaza Merdeka, Steve Ng dan Presiden Persatuan Bina Badan Miri, Jamilah Ibrahim.

Menurut Wee, SBBA juga sangat bangga dengan kejayaan atletnya merangkul gangsa pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA XVI) di Kuala Lumpur pada Jun lalu.

Katanya, apa yang dicapai oleh atlet bina badan negeri amat membanggakan sekali gus meletakkan Sarawak selaku kuasa besar dalam sukan tersebut dalam Malaysia.

“Sukan ini memerlukan displin yang tinggi dengan mengabungkan kekuatan minda dan fizikal. Ia antara cara terbaik untuk mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat,” katanya.

Pada majlis sama, beberapa atlet bina badan yang pernah membantu mengharumkan nama Sarawak mendapat penganugerahan istimewa daripada SBBA.

Seramai 27 peserta terlibat dalam kejohanan selama sehari yang mempertandingkan beberapa acara seperti Mr Fitness dan Mr Jubli Emas.

Mohd Iskandar Razali dinobatkan juara Mr Fitness manakala Tiong Cheong Soon dan Henry Kwan Hou Yee di tempat kedua dan ketiga.