Ibu bapa hadapi masalah tidak digalak hantar anak ke JKM

0

KUCHING: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tidak menggalakkan ibu bapa yang mengalami masalah kewangan mahupun krisis rumah tangga menghantar anak-anak mereka ke rumah perlindungan di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Menterinya Datuk Rohani Abdul Karim berkata, anak-anak memerlukan kasih sayang dan perhatian daripada ibu bapa kerana rumah perlindungan tidak berupaya memberi dua perkara itu 100 peratus kepada anak-anak terbabit.

Tambahnya, perbuatan itu adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab kerana sanggup lepas tangan untuk menjaga dan membesarkan anak mereka.

“Meninggalkan anak di JKM bukanlah satu penyelesaian meskipun ia dilihat langkah terbaik.

“Kami memang tidak menggalakkan perbuatan seperti ini tetapi dalam masa yang sama mungkin ia satu tindakan terbaik sebab sekurang-kurangnya bapa ini menghantar anak ke JKM.

“Tetapi kami tidak memberi galakan supaya berbuat demikian,” katanya ketika ditemui di sini kelmarin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai insiden terkini seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun yang ditinggalkan bapanya di JKM, Kuala Kangsar baru-baru ini.

Justeru, Rohani menasihati bapa kepada kanak-kanak berkenaan agar bermuhasabah diri dan mendapatkan kaunseling bagi memulihkan institusi keluarganya.

Beliau memberitahu, pihaknya berjaya mengesan bapa berkenaan melalui rakaman kamera litar tertutup yang ada di premis tersebut dan gambar lelaki itu sudah diedarkan dan diserahkan kepada pihak polis untuk pengesanan.

“Saya ingin memaklumkan bahawa kanak-kanak tersebut kini di tempat yang selamat iaitu di Rumah Perlindungan Kanak-kanak di Kuala Kangsar, walaupun kami tidak tahu apa masalah bapa ini kami berharap dia mengambil semula anaknya dan memulihkan kembali rumah tangganya,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Rohani ketika diminta mengulas sama ada beliau akan bertanding jawatan ketua Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam konvensyan yang akan datang, beliau berkata, ia terpulang daripada hasil perbincangan tertutup bersama ahli Majlis Tertinggi.

“Kita ada musyawarah antara ahli tertinggi dan ia akan ditentukan dalam musyawarah itu,” katanya.

Konvensyen PBB Ke-13 akan diadakan pada 18 Oktober hingga 20 Oktober depan.