Lawas bakal berubah wajah

0

MERCU TANDA: Taib dan Ragad (tiga kiri) melihat pelan pembangunan Lawas Mall dan Kompleks Kerajaan Negeri sambil disaksikan Abdul Karim (kiri), Awang Tengah, Maria (dua kanan) dan Dr Rahman (kanan) di Lawas semalam.

Lawas Mall, Kompleks Kerajaan Negeri, kilang penapisan minyak dan gas akan dibina

LAWAS: Daerah Lawas yang dikenali dengan keenakan ikan tahainya bakal berubah menjadi daerah yang membangun dengan pelaksanaan lebih banyak projek pembangunan seperti pembinaan pusat beli-belah (Lawas Mall), Kompleks Kerajaan Negeri serta kilang penapisan minyak dan gas di Pulau Sari pada masa depan.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata Lawas semakin berkembang maju setanding dengan bandar-bandar besar di negeri ini yang mempunyai banyak kemudahan diperlukan.

Katanya penduduk di sini wajar melengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran dalam sektor perindustrian berikutan pembesaran bentuk perniagaan baharu ke arah ekonomi yang berasaskan ilmu pengetahuan dan kemahiran.

“Mana-mana penjawat awam yang ditukar ke Lawas tidak akan berasa terasing kerana daerah ini semakin berkembang maju dan mempunyai pelbagai kemudahan yang diperlukan,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Lawas Mall dan Kompleks Kerajaan Negeri serta Majlis Ramah-tamah Aidilfitri di Dataran Bandar Lawas semalam.

Turut hadir isterinya Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan isteri Datuk Dayang Morliah Datuk Awang Daud, Menteri Muda Perumahan merangkap Pengerusi Borneo Corporation Development(BDC) Sdn Bhd Sarawak Abdul Karim Rahman Hamzah, Ahli Parlimen Lawas Datuk Henry Sum Agong, Ahli Parlimen Limbang Hasbi Habibollah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota Dr Abdul Rahman Ismail, ADUN Batu Danau Paulus Palu Gumbang dan jemputan lain.

Pembinaan Lawas Mall dan Kompleks Kerajaan Negeri menelan belanja RM90 juta.

Jelas Taib, walaupun SCORE terletak jauh dari Lawas tetapi getaran pembangunan SCORE itu sendiri dapat dirasai apabila terbinannya empangan hidro di Limbang dan Lawas untuk membekalkan tenaga bagi tujuan industri dan pembangunan keseluruhannya.

“Adalah diyakini bahawa rakyat Sarawak keseluruhannya akan menjadi lebih produktif untuk menjana kekayaan negara dalam menuju sebuah negeri maju di negara ini,” katanya.

Taib berkata rakyat harus bersedia menerima perubahan yang berlaku di negeri ini dalam aspek politik, ekonomi dan sosial dalam usaha melahirkan lebih ramai ‘anak Sarawak yang perkasa’.

Katanya tempoh 50 tahun kemerdekaan Sarawak merupakan satu jangka masa yang telah membuktikan kejayaan rakyat negeri ini untuk terus melakar kejayaan lebih gemilang untuk terus maju sejajar dengan wawasan pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN).

“Ini disebabkan kemampuan rakyat negeri ini meningkatkan kemampuan diri melalui catatan pendapatan perkapita daripada RM668 sebulan kepada RM41,000 dalam tempoh 50 tahun, selain memastikan rentak pembangunan berjalan dengan sempurna untuk meneruskan agenda politik pembangunan negeri ini yang telah memasuki fasa kedua,” katanya.

Justeru, rakyat semakin faham bahawa politik pembangunan meresapi tanpa mengira kaum kerana BN berjaya membawa kemakmuran, keamanan, perpaduan dan mencetus semangat kerjasama antara kaum di negeri ini.