Penduduk mengeluh tinggal jauh daripada arus pembangunan

0

HARAPKAN SINAR BAHARU: Kassin (dua kanan) bersama anak-anak buahnya berdiri di hadapan rumah panjang mereka sambil mengharapkan ada harapan lebih cerah bagi mereka pada masa akan datang.

SARATOK: Miskin dan terasa terabai. Itulah keluhan empat keluarga dari Rumah Kassin, Sungai Tengang, Lempa Kabo, Saratok yang masih merasakan diri mereka jauh ketinggalan daripada arus pembangunan.

Kassin, 66, berkata sungguhpun negara telah mencapai kemerdekaan 56 tahun tetapi mereka masih merasakan jauh di belakang dan terpinggir daripada pembangunan.

“Kami empat keluarga mendirikan rumah di sini sejak 2008.

“Dalam empat tahun kami tinggal di sini, hidup kami masih tidak berubah, malah kami terus dibelenggu rasa cemburu apabila melihat penduduk di sekitar kami terus menikmati pembangunan dan kemajuan.

“Apatah lagi rumah panjang kami yang serba kekurangan dan serba usang ini, tiada mempunyai sebarang kemudahan asas yang amat diperlukan oleh setiap masyarakat dewasa ini.

“Rumah panjang kami tiada bekalan air bersih dan elektrik.

“Beban ini menjadi lebih berat apabila rata-rata empat ketua keluarga yang tinggal di rumah panjang ini hanya bekerja sebagai buruh kasar,” kata Kassin ketika ditemui di sini semalam.

Empat ketua keluarga yang menetap di rumah panjang sama ialah Jantai Demang,44, Tebari Jantan, 50, Ensan Empawie,60 dan keluarga Kassin.

Rumah panjang mereka dibina di tebing yang agak curam dan boleh dikategorikan agak usang.

Menurut Kassin, bukan niat mereka hendak mendirikan rumah panjang terbabit di lokasi yang agak berbahaya dan tidak selesa itu, tetapi mereka tiada pilihan lain disebabkan tidak mempunyai tanah atau tempat lain.

“Berdasarkan pekerjaan kami sebagai buruh, semuanya menjadi mustahil untuk diusahakan.

“Mahu mengusaha kebun untuk menambah pendapatan sampingan kami tidak mempunyai tanah.

“Keadaan ini sekali gus membelenggu kami terutama untuk menghantar anak-anak ke sekolah kerana hanya bergantung kepada sumber pendapatan sebagai buruh kasar.

“Namun selama ini, kami tidak pernah memohon bantuan daripada mana-mana pihak untuk mengurangkan beban yang kami tanggung pada selama ini,” katanya.

Pada masa yang sama, rata-rata empat keluarga tersebut berharap akan ada sinar baharu bagi mereka pada masa akan datang kerana mereka sememangnya mengharapkan semua itu.