Pesawat mendarat di air diperkenal untuk tingkat kedatangan pelancong

0

KUCHING: Jumlah kedatangan pelancong ke Sarawak dijangka meningkat dua kali ganda atau lebih jika rancangan untuk memperkenalkan pesawat yang dapat mendarat di permukaan air berjaya direalisasikan.

Menteri Pelancongan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg berkata, salah satu destinasi berpotensi untuk pendaratan  pesawat ini ialah Batang Ai yang terletak dalam kawasan Lubok Antu.

Jika rancangan ini berjaya katanya, Lubok Antu katanya akan menjadi sebuah pekan yang sibuk di samping memberi peluang kepada pengusaha kraf tempatan mempamerkan hasil kraf masing-masing.

“Saya masih berbincang dengan Ketua Pegawai Eksekutif MASwings Datuk Kapten Mohd Nawawi Awang untuk menggunakan pesawat Twin Otter yang lama sebagai kapal terbang yang dapat mendarat di air memandangkan mereka sekarang ini menerima pesawat yang baharu.

“Saya juga telah berbincang dengan Mardivian Airlines untuk pengubahsuaian pesawat ini dan ia mungkin menelan perbelanjaan lebih kurang Dollar Amerika Syarikat (USD) 500,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran dan sidang media Promosi Kraf Malaysia 2013 di Tebingan Kuching di sini semalam.

Tambah Abang Johari hasil perbincangan bersama Lembaga Sungai-sungai Sarawak, dua lokasi iaitu Damai dan Medan Niaga Satok dikenal pasti strategik serta bersesuaian untuk dijadikan landasan penerbangan dan pendaratan kapal terbang tersebut.

Pelancong dan pengunjung dari Damai dan Medan Niaga Satok juga boleh dihubungkan secara terus ke Batang Ai dan Lubok Antu menerusi khidmat pesawat ini yang turut digunakan di Pulau Maldives.

“Saya tidak boleh janji tetapi saya yakin ia dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun dua ini kerana banyak perkara teknikal yang perlu dipertimbangkan,” tambahnya.

Dalam perkembangan berkaitan, kajian sedang dilakukan ke atas ‘Pelancongan Interland’ melibatkan Bakun, Murum dan Batang Ai untuk dijadikan sebagai sebuah pusat peranginan.

Kajian melibatkan perunding luar negara itu merangkumi pelbagai aspek dari segi impak alam sekitar, sumber biodiversiti serta aspek-aspek lain yang boleh dijadikan produk pelancongan dalam sebuah pusat peranginan.

Dalam pada itu, jumlah kedatangan pelancong menunjukkan pertambahan sebanyak 17 peratus bagi tempoh Januari hingga Jun berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

Pertambahan ini menurutnya turut merangkumi pelancong yang datang menerusi Miri serta tinggal agak lama antara tiga hingga lima hari di Sarawak.