Ahli geng curi kenderaan berjaya diberkas polis

0

DITAHAN: Suspek dibawa dari Balai Polis Sentral Sibu, semalam.

Suspek ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Sungai Merah pada jam 7.30 pagi semalam

SIBU: Polis berjaya memberkas seorang daripada ahli geng curi kenderaan di sini, semalam.

Suspek yang berusia lingkungan 20 tahun ditahan semasa polis melakukan serbuan di sebuah premis di Sungai Merah pada jam 7.30 pagi selepas menerima maklumat orang awam.

Semasa intipan itu, polis mendapati sebuah lori yang membawa muatan sebuah motosikal tiba di tempat terbabit.

Tanpa membuang masa, polis kemudian menahan suspek sebaik keluar dari lorinya.

Motosikal yang dibawanya itu dikatakan sebuah motosikal curi dengan bahagian enjinnya gagal berfungsi.

Menurut siasatan awal, suspek dipercayai menggunakan senapang ketika melarikan motosikal terbabit.

Bagaimanapun, polis masih menyiasat sama ada senapang yang digunakan itu adalah tulen atau sebaliknya. Suspek ditahan di bawah reman.

Pada awal pagi Sabtu lalu, suspek berjaya melarikan diri dengan terjun dari tingkap di sebuah rumah di Jalan Merdeka, di sini apabila polis cuba menahannya.

Minggu lalu, abangnya yang berusia lingkungan 20 tahun telah ditahan polis semasa cuba mencuri motosikal di Bintulu.