Kerajaan pusat bertekad bantu penuhi keperluan perumahan rakyat Sarawak

0

PENUHI KEPERLUAN PERUMAHAN: Abdul Rahman dan Abang Johari merakam kenangan bersama rombongan Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan agensi berkaitan di pintu utama Wisma Sultan Tengah semalam.

KUCHING: Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan bertekad membantu negeri Sarawak memenuhi keperluan perumahan mampu milik untuk rakyatnya.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan memberitahu bahawa kerajaan pusat amat komited untuk memenuhi keperluan tersebut secepat mungkin melalui pelaksanaan oleh Jabatan Perumahan Negara (JPN).

“Kerajaan pusat bukan sahaja menumpukan kepada penyediaan rumah kos rendah malah bertekad untuk menyediakan rumah mampu milik di negeri Sarawak,” ujar Abdul Rahman ketika sidang media selepas melakukan kunjungan hormat ke pejabat Menteri Perumahan Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg di Wisma Sultan Tengah semalam.

Turut hadir pada perjumpaan tersebut ialah kedua-dua Menteri Muda Perumahan Datuk Francis Harden Hollis dan Abdul Karim Rahman Hamzah serta Pengerusi Daya Buliders Sdn Bhd Dr Abdul Rahman Junaidi.

Menurut Abdul Rahman, pelaksanaan cadangan tersebut akan dibincangkan bersama Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan supaya ia dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kami berharap cadangan kami akan dipertimbangkan supaya dilaksanakan secepat mungkin di samping memenuhi spesifikasi yang ditetapkan dari segi kualiti, masa dan penyerahan rumah tersebut nanti.

“Ini merupakan antara langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani kos serta spekulasi harga rumah yang meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini,” jelas Abdul Rahman.

Beliau turut memuji Kerajaan Negeri Sarawak yang amat aktif dan prihatin dalam menangani isu kenaikan harga rumah melalui pembelian tanah untuk membangunkan projek perumahan mampu milik.

“Saya amat berbangga de-ngan Kerajaan Negeri Sara-wak yang mengambil ini-      siatif membeli tanah di kawasan yang terpilih dan strategik menggunakan dana kerajaan bagi membangun-kan projek perumahan untuk rakyatnya,” kata Abdul Rahman.

Sementara itu, Abang Johari mengucapkan penghargaan kepada kerajaan pusat kerana memberi sokongan penuh kepada kerajaan negeri bagi membangunkan beberapa kawasan perumahan baharu serta mampu milik bagi memenuhi kehendak rakyat di negeri ini.

“Kerajaan negeri bercadang untuk bekerjasama dengan kerajaan pusat dengan menempatkan pegawai serta agensi berkaitan bagi melaksanakan projek perumahan yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak.

“Kami mempunyai perancangan untuk lima tahun akan datang iaitu untuk membina sebanyak 50,000 unit rumah yang akan dibangunkan dengan kerjasama JPN, Perumahan 1Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) selain agensi negeri yang berkaitan,” jelas Abang Johari.

Beliau berharap melalui pendekatan tersebut ia akan mampu memenuhi keper-luan perumahan terutama di kawasan Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE) di Bintulu, Kuching dan Miri serta pekan-pekan kecil dengan kerjasama pemaju swasta.