TBS utamakan program bantuan pendidikan

0

SAMBUTAN RAYA: Shibli berbual sesuatu dengan Talib semasa Rumah Terbuka TBS. — Gambar Muhammad Rais Sanusi

60 peratus daripada zakat tahunan dikutip diguna untuk program bantuan pendidikan

KUCHING: Sebanyak 60 peratus daripada zakat tahunan yang dikutip Tabung Baitulmal Sarawak (TBS) akan digunakan untuk program bantuan pendidikan.

Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Nailie berkata, agihan akan dilakukan untuk membantu pelajar yang memerlukan wang untuk melanjutkan pelajaaran ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Menurutnya, sekiranya pemohon memenuhi syarat, TBS akan memberi bantuan kerana pendidikan merupakan pendekatan terbaik untuk membantu keluarga keluar daripada kepompong kemiskinan.

“Bantuan akan diberikan kepada pemohon (pelajar) yang memenuhi syarat ditetapkan.

“Pemohon yang layak terdiri daripada mereka yang melanjutkan pelajaran di IPT kerajaan atau swasta,” katanya kepada pemberita semasa Rumah Terbuka Aidilfitri TBS di Dewan Kompleks Islam Sarawak (KIS) semalam.

Beliau berkata, setiap tahun kira-kira RM22.5 juta diagihkan kepada golongan asnaf untuk pendidikan, kebajikan dan pembangunan institusi Islam.

Sehingga 16 Ogos lepas, Shibli berkata, TBS berjaya mengutip zakat berjumlah RM37.4 juta.

Malah menurutnya, zakat fitrah yang dikutip sepanjang bulan Ramadan lepas di seluruh negeri mencecah RM4.5 juta.

Sehubungan itu, beliau menggesa umat Islam di negeri ini supaya terus melakukan zakat potongan gaji.

“Potongan gaji merupakan langkah terbaik untuk menyumbang zakat,” ujarnya.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip dan Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.