Judi: Isteri bekas wakil rakyat, nenek antara dicekup polis

0

SIBU: Seorang isteri bekas wakil rakyat dan lima rakannya termasuk yang sudah bergelar nenek dicekup oleh pasukan polis dari Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) ketika sedang asyik bermain judi menggunakan daun terup di sebuah rumah di Jalan Meludan di sini, petang kelmarin.

Sumber berkata, pasukan polis diketuai oleh Inspektor Heng yang menerima maklumat awam bertindak melakukan serbuan ke atas sebuah rumah milik seorang bekas kaunselor pada kira-kira jam 5 petang.

“Mereka yang ditahan berumur antara 30-an hingga 70-an dan ada di kalangan mereka pernah ditahan polis kerana bermain judi di rumah yang sama sebelum ini,” katanya.

Polis turut merampas sebuah meja yang diperbuat daripada batu marmar, enam kerusi, daun terup dan beberapa ratus wang tunai.

Difahamkan, enam wanita tersebut dipercayai sering bermain judi di rumah berkenaan dan mengganggu ketenteraman awam sejak kebelakangan ini.

Semua mereka dibawa ke Balai Polis Sentral untuk direkodkan kenyataan dan dibebaskan semua dengan ikat jamin polis.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.