Friday, October 23

Lelaki nyaris maut kereta hilang kawalan, terbabas

0

HILANG KAWALAN: Kereta Naza Suria yang terbabas ke tepi jalan yang bertentangan di Jalan Tunku Abdul Rahman semalam.

SIBU: Seorang lelaki nyaris maut apabila kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas ke tepi jalan bertentangan di Batu 11 Jalan Tunku Abdul Rahman, pagi semalam.

Dalam kejadian pada jam 10 pagi itu, mangsa, 24, dikatakan sedang dalam perjalanan pulang dari Lapangan Terbang Sibu ke rumahnya yang terletak berdekatan Dewan Suarah Sibu apabila keretanya melalui jalan yang sedang diperbaiki.

Saksi berkata, mangsa tidak memperlahankan keretanya ketika melalui jalan yang sedang diperbaiki menyebabkan mangsa gagal mengawal keretanya.

Akibatnya, kereta mangsa terbabas ke jalan bertentangan dan nyaris dirempuh oleh sebuah kereta jenis Proton Saga yang datang dari arah bandar.

Mujurlah pemandu kereta Proton Saga yang sedang dalam perjalanan ke Bintulu bersama ahli keluarga berjaya mengelak daripada dirempuh kereta Naza Suria yang terbabas ke dalam semak di tepi jalan.

Mangsa hanya mengalami cedera ringan di lengan, namun keretanya rosak di bahagian bampar hadapan dan sterengnya patah.

Pasukan polis peronda trafik turut berada di lokasi kejadian untuk melakukan siasatan.