Hasil hibrid orkid kualiti tinggi

0

BERWARNA-WARNI: Taib dan isteri mendengar taklimat daripada peserta pertunjukan orkid yang diadakan sempena Pameran Orkid Antarabangsa 2013 di Kuching, semalam. — Gambar Jeffery Mostapa

KUCHING: Sarawak berpotensi untuk menghasilkan hibrid orkid berkualiti tinggi dan terbaik pada masa akan datang.

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ia telah dibuktikan sejak tahun 1960-an apabila Sarawak memulakan aktiviti mengeluarkan hibrid orkid berkualiti serta spesies baharu oleh pakar.

“Selain itu, terdapat 127 orkid telah ditemui di Sarawak daripada 300 genera orkid yang ditemui di seluruh dunia.

“Dengan itu, kita dapat melihat bahawa asas untuk mengeluarkan hibrid di Sarawak adalah baik dan ia juga telah dibuktikan dalam sejarah Sarawak,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Pameran Orkid Antarabangsa Kedua 2013 anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) di Taman Orkid di Petra Jaya di sini, semalam.

Dengan itu, tambah Taib, potensi Sarawak untuk membangunkan orkid sebagai produk yang baik dengan nilai komersial yang tinggi adalah besar.

Katanya, di Malaysia industri orkid berkembang dengan baik apabila negara mampu mencapai nilai eksport RM43 juta pada tahun 2005 yang dijangka meningkat pada masa akan datang.

Sehubungan itu, ujarnya, usaha mempromosikan orkid oleh DBKU khasnya melalui Taman Orkid, memainkan peranan penting untuk memupuk atau menggalakkan penanaman orkid.

“Mereka mampu mengumpulkan lebih daripada 80,000 spesies orkid yang dipamerkan di sini dan saya percaya ini akan bertambah.

“Saya berharap peningkatan itu akan lebih tinggi melalui penghasilan hibrid baharu,” tegasnya.

Taib berkata, Datuk Bandar DBKU dan organisasinya memainkan peranan penting dalam menjadikan Kuching sebagai bandar raya hijau.

Ini termasuk memupuk minat di kalangan orang ramai mengenai orkid supaya ia bukan sahaja berlandaskan skala komersial, tetapi juga sebagai hobi, jelasnya.

“Untuk ini, saya berasa kini sudah tiba masanya ia menjadi satu permulaan kepada kita untuk mempromosikan orkid sebagai hobi yang baik,” kata Taib.

Mengulas mengenai pameran itu, Ketua Menteri berkata, adalah usaha perintis daripada DBKU dan sangat penting kepada Sarawak.

Selain Malaysia, pameran itu disertai 14 negara antaranya Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Jepun dan Taiwan.

Hadir sama isteri beliau Puan Sri Ragad Kurdi Taib, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) yang juga menteri bertanggungjawab kepada DBKU Datuk Daud Abdul Rahman, Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah serta Datuk Bandar DBKU Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.