Kemahiran bomba lebih mantap menerusi latihan

0

SARIKEI: Anggota bomba harus memantapkan kemahiran di samping sentiasa bersedia dalam menghadapi apa juga kecemasan yang mungkin berlaku dari semasa ke semasa.

Justeru, dalam menghadapi situasi kesiapsiagaan tersebut, sesi latihan memantapkan kemahiran anggota akan diadakan pada setiap masa, kata Ketua Bomba Zon Sibu Abdul Mutalib Rashid.

Menurut beliau, tanggungjawab dan bidang tugas anggota bomba pada masa ini tidak hanya memfokus kepada memadam kebakaran semata- mata, malah merangkumi pelbagai peranan lain termasuk menyelamat.

“Sehubungan itu, hari ini (semalam) Bomba Zon Sibu bersama Balai Bomba Saratok bergabung untuk menganjurkan satu program latihan iaitu High Angle Rescue (HAR).

“Objektif latihan HAR ini adalah untuk memahirkan anggota kita dalam usaha dan kerja- kerja menyelamat di kawasan yang tinggi, curam serta berisiko, baik kepada golongan yang diselamatkan, mahupun yang menyelamatkannya.

“Pada masa sama, latihan ini akan memahirkan anggota kita, terutama dalam mengendalikan peralatan serta sistem yang bakal diguna pakai semasa menjalani operasi menyelamat agar mereka tidak kelam-kabut serta terdedah melakukan kesilapan kecil yang boleh mengundang padah besar,” katanya.

Abdul Mutalib berkata demikian ketika ditemui di lokasi latihan HAR di Taman Rimba Sebangkoi, semalam.

Program itu disertai oleh seramai 22 anggota bomba dari Zon Sibu merangkumi anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sibu, Sungai Merah, Mukah, Kanowit, Bintangor, Sarikei dan sebuah dari Zon Betong iaitu Balai Bomba Saratok.

Sesi latihan berlangsung selama tiga hari iaitu bermula 3 September lepas.

Tambah Abdul Mutalib, latihan kecemasan yang serupa akan diteruskan pada masa akan datang.

“Pada bulan hadapan, kita telah merancang untuk menganjurkan aktiviti serupa tetapi situasi yang berbeza.

“Kita berharap dengan usaha yang serupa, anggota kita dapat meningkatkan prestasi kerja mereka, khususnya dalam bidang tugas kebombaan yang kian mencabar,” jelasnya lagi.

Turut hadir di lokasi latihan ialah Ketua Balai Bomba Sarikei Suna Kaha serta beberapa pegawai bomba lain yang menjadi jurulatih pada program latihan berkenaan.