Penganjuran AMF akan meriahkan suasana Miri

0

GIMIK PERASMIAN: Lai (dua kiri) dan Rashid (empat kiri) melakukan simbolik perasmian untuk Asia Music Festival semalam.

MIRI: Berikutan kejayaan Borneo Jazz dan Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB) akan menganjurkan festival muzik berprestij Asia Music Festival (AMF) pada 4 dan 5 Oktober depan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) STB Datuk Rashid Khan berkata, penganjuran festival muzik itu menjanjikan hujung minggu yang menyeronokkan dengan menikmati alunan muzik pelbagai genre.

“Seperti Borneo Jazz dan RWMF sebelum ini, AMF merupakan antara acara yang dianjurkan untuk menarik pelancong dari dalam dan luar negara.

“Kita menyasarkan kehadiran sekitar 4,000 peminat muzik pelbagai genre khususnya dari negara jiran seperti Brunei , Singapura, Indonesia selain pengunjung tempatan.

“Bahkan, acara ini akan membantu menghidupkan suasana bandar raya Miri dengan penganjuran AMF yang bakal dijadikan acara tahunan pada Oktober, selain Borneo Jazz yang diadakan pada bulan Mei,” ujarnya pada sidang media di Eastwood Valley Golf & Country Club di sini, semalam.

Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri (MBM) Lawrence Lai, Pengarah Strategi dan Program Pengurusan Pejabat STB Michael Sim dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Eastwood Valley Golf & Country Club Kueh Chie Tiong.

Rashid berkata, selain dihiburkan oleh artis tempatan dan jemputan pada waktu malam, pihak penganjur turut menyelitkan beberapa program lain seperti karnival makanan, pameran tatu, pameran motosikal berkuasa tinggi dan sabagainya.

Sebanyak 16 band bakal menyerikan AMF, antaranya Antoney Dassan Yen Party (India), The Foxy Girls (Indonesia), Bembol Rockers (Filipina), V.

Star Band (Korea), Boy Thai Band (Thailand), Soesah Tidoer (Indonesia), Fakhrul Razi (Brunei) dan beberapa artis tempatan.

Acara selama dua hari terbabit akan berlangsung di Eastwood Valley Golf & Country Club.

Tiket dijual pada harga RM30 untuk dewasa dan RM15 bagi kanak-kanak dan pelajar berumur tiga hingga 18 tahun.

Tiket akan mula dijual kepada orang ramai pada Isnin, 9 September ini di pejabat STB, Pusat Informasi Pelawat (VIC) Kuching (082-423600), VIC Miri (085-434180) dan VIC Sibu (084-340980).

Untuk maklumat lanjut, mereka yang berminat juga boleh melayari laman sesawang www.asiamusicfestival.net, www.facebook.com/Sarawak- Travel atau e-melkan kepada [email protected] menerusi talian 082-239171.