Sistem ‘City Check-In’ permudah jemaah haji Malaysia

0

MADINAH: Lembaga Tabung Haji (TH) memperkenalkan sistem ‘City Check-In’ di Madinah mulai tahun ini bagi mempermudahkan jemaah haji Malaysia berlepas pulang ke tanah air selepas menunaikan ibadah haji kelak.

Pengarah Operasi Haji Madinah, Mohd Zawawi Bostam berkata, menerusi sistem itu, jemaah haji tidak lagi perlu menguruskan daftar masuk bagasi di lapangan terbang.

Katanya, sebagai projek perintis, sistem ini akan diperkenalkan untuk jemaah yang pulang ke tanah air dari Madinah dan jika ia didapati berkesan, projek ini juga kemungkinan akan diperkenalkan bagi jemaah yang bertolak pulang dari Mekah.

“Sistem ‘City Check-In’ ini menawarkan perkhidmatan mendaftar masuk jemaah dan menimbang bagasi di hadapan pintu bilik penginapan masing- masing dan kemudiannya mereka tidak lagi perlu menunggu untuk daftar masuk bagasi di lapangan terbang,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata, TH juga telah memasang alat pengimbas di pintu masuk hotel-hotel penginapan jemaah di Madinah dan sistem ini adalah satu pembaharuan yang dilaksanakan tahun ini.

Seramai 22,320 jemaah haji dengan 65 penerbangan dari Malaysia akan menunaikan rukun Islam kelima di tanah suci tahun ini dan jumlah itu berkurangan 20 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Pengurangan kuota oleh kerajaan Arab Saudi untuk seluruh negara di dunia adalah disebabkan pelaksanaan kerjakerja menaik taraf kawasan Masjidil Haram di Mekah.

Mohd Zawawi yang juga Naib Konsul Malaysia di Jeddah (Urusan Haji) berkata, sebanyak 1,600 kumpulan pertama jemaah haji Malaysia dijadual tiba di Madinah pada 7 September ini dan akan bergerak ke Mekah pada 15 September.

— Bernama