Djokovic dan Nadal perlu bersiap sedia

0

NEW YORK, Amerika Syarikat (AS): Novak Djokovic dan Rafael Nadal mesti mematahkan serangan serampang dua mata daripada guru-guru seni pukulan kilas sebelah tangan yang semakin pupus jika mereka mahu bertemu dalam perlawanan akhir blockbuster di Terbuka AS.

Dua pemain lelaki utama dunia ternyata pemain-pemain terbaik di kejohanan itu dengan Djokovic yang hanya kalah dalam satu set sahaja dalam lima pusingan manakala Nadal belum lagi dirampas mata servis.

Sementara mereka bermain dengan penuh penguasaan, juara bertahan Andy Murray tewas pada peringkat suku akhir kepada Stanislas Wawrinka manakala juara lima kali Roger Federer tersingkir pada pusingan keempat.

Hari ini Djokovic, juara enam kali kejohanan utama, yang bermain dalam perlawanan separuh akhir Grand Slam ke-14 dan ketujuh berturut-turut di New York, di mana dia menjadi juara pada 2011, akan berusaha untuk menjadikan penampilan julung kali Wawrinka pada peringkat separuh akhir satu pengalaman yang memeritkan.

Nadal, pemenang kejuaraan Grand Slam sebanyak 12 kali dan juara New York pada 2010, berhadapan dengan Richard Gasquet, pemain pilihan kelapan dari Perancis dan salah seorang rakannya yang paling erat dalam jelajah tenis.

Gasquet, seperti Wawrinka, telah mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali di Terbuka AS.

Namun dua pemain yang tidak dijangka mara itu juga ada perkara lain yang sama – kepakaran dalam pukulan kilas sebelah tangan, sesuatu yang tidak digunakan oleh Djokovic mahupun Nadal.

“Saya agak gembira dengan pukulan kilas saya.

Itu adalah salah satu pukulan terbaik saya,” kata Wawrinka yang buat pertama kali dalam kariernya sudah mara lebih jauh dalam kejohanan Grand Slam berbanding rakan senegaranya yang lebih terkenal, Federer.

“Saya menukar pukulan ketika saya berusia 11 tahun kerana pukulan kilas dua tangan saya tidak cukup bagus.

” Wawrinka, yang telah mara ke peringkat separuh akhir buat pertama kali di kejohanan utama dalam cubaan ke-35, memerlukan senjata itu pada hari ini kerana Djokovic, yang sudah memenangi Terbuka Australia pada tahun ini, menikmati kelebihan karier 12-2 ke atas pemain Swiss itu.

Kemenangan terakhir Wawrinka adalah pada 2006 dan dia terpaksa menarik diri kerana sakit apabila kedua- dua pemain bertemu pada pusingan keempat di New York 12 bulan lalu.

Dia ditewaskan sekali pada peringkat 16 terakhir di Australia pada tahun ini dalam perlawanan epik selama lima jam di mana dia mendahului 6-1, 5-2.

Namun keyakinannya tinggi – pada 2013 dia memiliki rekod 7-7 menentang pemain dalam kelompok 10 teratas; dalam tempoh tiga tahun sebelum ini, dia memiliki rekod gabungan 7-26.

“Perlawanan menentang Stan di Melbourne merupakan antara yang paling mengujakan pernah saya mainkan di atas gelanggang keras,” kata Djokovic yang mahu mara ke perlawanan akhir New York bagi kali keempat berturut-turut.

“Pada masa lalu kami tahu Stan memiliki kualiti untuk bermain dengan baik tetapi tidak konsisten.

Sekarang dia sudah memperbaiki pergerakannya dan memiliki lebih banyak jenis pukulan.

Dia seorang pemain yang sangat lengkap.

” Nadal bermain dalam perlawanan separuh akhir kelimanya di Terbuka AS dengan rekod 10-0 ke atas Gasquet, 27 tahun.

Walaupun bermain dengan dominan, Nadal tahu Gasquet kental, selepas dia memerlukan lima set untuk menyingkirkan Milos Raonic pada pusingan keempat, dalam perlawanan paling lama di kejohanan itu setakat ini, dan kemudian pemain pilihan keempat David Ferrer.

“Saya menjangka dia akan bermain dengan amat baik.

Dia bermain dengan hebat di kejohanan ini.

Dua kemenangan hebat ke atas Raonic dan David.

Kemenangan dalam lima set menentang pencabar yang sukar, itu adalah hebat sekali baginya,” kata Nadal.

Sebaliknya Nadal, juara Terbuka Perancis, belum dirampas mata servis dalam 67 permainan servis dalam usaha untuk memenangi kejuaraan ke-10 pada 2013 sejak dia kembali dari cuti selama tujuh tahun akibat kecederaan pada Februari lalu.

Gasquet, yang pernah bermain sekali pada peringkat separuh akhir di Wimbledon 2007, mengakui dia bukan pemain pilihan, terutamanya selepas Nadal melepaskan hanya empat permainan sahaja dalam kemenangan suku akhir ke atas Tommy Robredo.

Ia adalah perlawanan suku akhir paling pantas di Terbuka AS dalam tempoh 25 tahun.

“Kami tahu Rafa memiliki keyakinan dan ia jelas bahawa ia adalah satu perlawanan yang pasti sangat sukar,” kata Gasquet.

“Saya bukan pemain pilihan dan untuk menewaskannya, ia tidak cukup bagus, saya perlu bermain dengan kejam.

” -AFP