Banjir, kanak-kanak 12 tahun dikhuatiri lemas terjatuh sungai

0

Anggota bomba sedang melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa yang terjatuh di dalam parit besar berdekatan bangunan CKS Jalan Bypass Penampang.

PENAMPANG: Seorang kanak-kanak lelaki warga asing dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam parit besar berhampiran bangunan CKS, Jalan Bypass Penampang di sini kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Jimal Jamal, 12, dikatakan telah tergelincir di parit berkenaan selepas memancing bersama rakan yang lain kira-kira jam 2 petang pada Ahad lalu.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Affendy K Ramin berkata pihaknya menerima panggilan berhubung insiden itu pada jam 9.33 pagi kelmarin.

“Sepasukan anggota yang diketuai oleh Pegawai Bomba Kanan II, Johnny Gastom dari JBPM Penampang tiba di lokasi kejadian bagi operasi mencari mangsa.

“Bagaimanapun setakat lewat petang kelmarin, mangsa masih gagal ditemui dan operasi mencari diteruskan esok (hari ini),” katanya.

Terdahulu dalam kejadian Ahad lepas, masyarakat di sekitar ibu negeri dikejutkan dengan insiden banjir kilat berikutan hujan lebat yang telah mengakibatkan beberapa kawasan ditenggelami air diselangi tanah runtuh di beberapa kawasan.

Antara lokasi yang terjejas adalah di kawasan Damai, Penampang dan Lok Kawi.