Polis tahan 81 individu dalam Ops Cantas

0

DIHARGAI: Inspektor Nur’ain menerima surat penghargaan daripada Shafie pada Majlis Perhim-punan Bulanan IPD Sibu, pagi semalam.

SIBU: Seramai 81 individu ditahan daripada 1,973 orang yang diperiksa kerana dipercayai terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah di Sibu sejak Ops Cantas dijalankan pada 21 Ogos lalu sehingga pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Shafie Ismail berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 69 lelaki dan 12 wanita dan ada di kalangan mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Saya tidak menafikan bahawa ada di antara mereka pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO) dan tidak kurang juga daripada mereka merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP),” katanya ditemui pada Majlis Perhimpunan Bulan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sibu, di sini pagi semalam.

Shafie berkata, Ops Cantas masih diteruskan bagi memas­tikan bandar ini selamat untuk didiami dan pihak polis sen­tiasa melakukan yang terbaik untuk mencegah dan mem­banteras apa juga aktiviti dan gejala jenayah di bandar ini.

Menurutnya, pihaknya juga melakukan pemeriksaan sebanyak 80 pusat hiburan dan 85 buah hotel bajet selain 199 buah pusat spa, 40 pusat perjudian, 23 buah ‘hot spot’ atau tempat tumpuan jenayah di bandar ini.

“Pusat hiburan dan ho­tel bajet menjadi sasaran pemeriksaan utama polis kerana ia mudah menjadi sarang penjenayah dan tempat menagih dadah,” katanya.

Jelasnya, polis di sini juga melakukan pemeriksaan ke atas 1,343 buah kereta ter­masuk memeriksa nombor casis kereta di tiga sekatan jalan diadakan setiap hari sejak Ops Cantas.

Sementara itu, Shafie turut menyentuh mengenai kes tipu yang sering berlaku di sini dan berharap orang ramai lebih berwaspada.

“Jika anda menerima pan­ggilan daripada orang yang tidak dikenali, sila pastikan anda merujuk kepada pihak berkenaan seperti polis men­dapatkan pengesahan terlebih dahulu,” katanya.

Setakat ini, sebanyak 20 kes tipu diterima melibatkan mangsa membeli barang melalui Internet.

Katanya, walaupun pebagai nasihat dan amaran telah dihebahkan melalui media cetak dan elektronik namun masih ada juga yang tidak serik menipu dan ditipu.

Pada majlis itu, seramai 29 anggota polis berpangkat Lans Koperal menerima kenaikan pangkat Koperal dan seramai 20 anggotanya menerima surat penghargaan termasuk dua awam.

Dalam ucapannya, Shafie juga menasihatkan para ang­gota agar berhati-hati ketika menjalankan tugas mereka di jalan raya.

“Akhir-akhir ini, beber­apa kemalangan jalan raya melibatkan anggota polis terkorban semasa bertugas,” katanya.