Pusat Jantung HUS rekod 20,000 pesakit jantung setahun

0

KOTA SAMARAHAN: Pusat Jantung Hospital Umum Sarawak (HUS) di sini merekodkan kira-kira 20,000 pesakit jantung dalam tempoh setahun di negeri ini.

Malah, Perunding Kardiologi di Jabatan Kardiologi, Pusat Jantung HUS Dr Alan Fong Yean Yip menjangka, bilangan tersebut akan meningkat dari semasa ke semasa.

“Kami berdepan bilangan pesakit jantung yang sangat ramai dan menjangka bila-ngan ini akan meningkat,”   katanya pada sidang media sempena Hari Jantung Se-dunia 2013 di Pusat Jantung HUS di sini, semalam.

Dr Alan berkata, Pusat Jantung HUS turut kehilangan banyak kes terutamanya me-libatkan pesakit-pesakit dari kawasan jauh.

“Masalah kita di sini ialah ramai pesakit tidak dirujuk ke hospital ketika masih di peringkat awal. Kebanyakan mereka datang dari Kapit, Sibu, Limbang dan Miri,” jelasnya.

Justeru, rakyat negeri ini khususnya yang berada di sekitar Kuching diajak untuk bersama-sama menyertai Hari Jantung Sedunia 2013 yang akan diadakan pada 29 September ini di Taman Pustaka Negeri, Petra Jaya dari jam 6 pagi hingga 1 petang.

Menurut Ahli Pemegang Amanah Yayasan Jantung Sarawak (YJS) Profesor Dr Sim Kui Hian, program anjuran YJS dan Pusat Jantung HUS itu adalah bagi memberikan kesedaran umum mengenai bahaya sakit jantung, selain mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Bagi aktiviti tahun ini, kami mahu menggalakkan orang ramai dan organisasi korporat untuk menyokong aktiviti YJS dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan menjalankan pemeriksaan kesihatan kepada masyarakat di seluruh negeri,” katanya.

Bayaran penyertaan untuk program itu ialah RM20 me-rangkumi baju-T, pemeriksaan kesihatan percuma (BMI, tahap kandungan gula dalam darah, kolesterol dan kaunseling), pemberian sagu hati dan hadiah cabutan bertuah yang menarik untuk dimenangi.

Sarapan pagi sihat, Nestle Omega turut disediakan kepada peserta oleh Nestle Products Sdn Bhd iaitu antara penaja utama dan rakan bagi aktiviti Walk-A-Mile sempena Hari Jantung Sedunia 2013.

Kaunter pendaftaran akan dibuka seawal jam 5.30 pagi pada 29 September di Pustaka Negeri.

Turut diadakan ialah senaman aerobik, sesi tarian dalam barisan oleh kumpulan tarian terkenal dan sesi permainan menghiburkan tajaan De Jackie Inspiration.

Untuk maklumat lanjut,  sila hubungi talian 082-258212 atau 082-233784.