Beberapa pengusaha restoran di Miri kenakan caj tambahan kepada pelanggan

0

MIRI: Kenaikan harga petrol baru-baru ini telah menyebabkan beberapa pengusaha restoran di sini bertindak mengenakan caj tambahan kepada pelanggan secara sesuka hati.

Seorang pengadu memberitahu, dia terkejut apabila dikenakan caj tambahan menerusi caj bekas makanan (styroform) atau bekas plastik jika membawa pulang makanan yang dibeli.

“Caj yang dikenakan antara 0.20 sen hingga 0.40 sen setiap satu bekas makanan dan ia dikenakan terhadap pelanggan yang membeli makanan untuk dibawa pulang tanpa dimaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.

Pengadu menjelaskan, caj berkenaan sememangnya tidak wajar dikenakan terhadap pelanggan bahkan perbuatan sedemikian seolah-olah pihak pengusaha restoran terbabit terdesak untuk mencari keuntungan lebih.

“Agensi kerajaan berkaitan diminta turun padang dan menyiasat tindakan segelintir pengusaha restoran yang mengenakan caj tambahan kepada pelanggan menerusi caj bekas makanan plastik atau styroform,” jelasnya.

Pengadu turut memberitahu, salah sebuah restoran makanan di Permyjaya telah dikesan mengenakan caj tambahan terhadap pelanggan dan ia turut dilaporkan berlaku di beberapa restoran berlainan.

Dalam masa sama, beliau memberitahu bahawa pihak pengusaha restoran juga tidak seharusnya menaikkan harga makanan dan minuman sesuka hati hanya dengan alasan kenaikan harga petrol baru-baru ini.

“Harga yang diletakkan dalam menu adalah berlainan manakala harga semasa membuat pembayaran pula menunjukkan perbezaan yang ketara.

“Ia menunjukkan berlaku penyelewengan dalam meletakkan harga makanan serta minuman, dan menjadi bukti kukuh bahawa pengusaha restoran mengambil kesempatan menaikkan harga makanan dan minuman,” katanya.

Sehubungan itu kata pengadu, mana-mana pelanggan yang mengalami pengalaman yang sama harus menggunakan hak pengguna dengan memboikot restoran makanan terbabit.