Bekerjasama pemimpin setempat untuk transformasi GIATMARA

0

KEPALA BATAS: GIATMARA digalakkan bekerjasama dengan pemimpin setempat yang mampu menjadi nilai tambah dalam proses transformasi institusi yang menawarkan program latihan dan kemahiran itu untuk melahirkan modal insan berkemahiran tinggi.

Pengerusi GIATMARA Datuk Dr Jaujan Sambakong berkata proses transformasi itu mesti bersifat lebih strategik dan sistematik agar setiap kursus ditawarkan seiring dengan hasrat kerajaan untuk mencapai taraf negara maju berpendapatantinggi.

Beliau berkata, dalam usaha melahirkan ramai modal insan berkemahiran tinggi, institusi itu telah merancang pelbagai program yang mempunyai potensi dan nilai pasaran kerja yang tinggi.

“GIATMARA mencuba untuk mencari peluang-peluang baharu yang boleh mencipta pasaran kerja, hal ini bertujuan membantu masyarakat yang ingin menceburi bidang keusahawanan bagi meningkatkan ekonomi keluarga.

“Sebagai contohnya kita akan meluaskan program latihan yang berkaitan dengan industri spa dan kecantikan yang kini semakin mendapat sambutan dan diminatiramai,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan majlis kibar Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan menyampaikan sijil latihan 1Malaysia diGIATMARA Prima Tasek Gelugor dekat sini. Turut hadir Pengarah GIATMARA PulauPinang Rusli Abdullah.

Selain itu, Jaujan berkata dalam proses transformasi itu, GIATMARA perlu memberi tumpuan kepada keperluan dan kehendak pelanggan iaitu pelatih dalam memacu sistem latihan berkualiti bagi memenuhi kehendak pasaran. — Bernama