Dakwaan Global Witness tak berasas: Awg Tengah

0

KUCHING: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan menepis dakwaan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa, Global Witness yang menyatakan bahawa Sarawak mengeksport balak diperolehi secara haram ke Jepun.

Dakwaan yang dilemparkan itu adalah tidak berasas sama sekali katanya, melainkan NGO tersebut mempunyai bukti.

“Saya rasa perkara itu tidak wujud kerana prosedur kita (kerajaan) amat ketat di mana kita hanya mengeluarkan permit (pembalakan) setelah menjalani pemeriksaan dan siasatan juga dilakukan secara ketat oleh agensi-agensi kita.

“Bagi saya, ia sekadar dakwaan… melainkan mereka dapat membuktikannya,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Rundingan & Taklimat dan Go-Export di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai laporan portal berita atas talian mengenai syarikat Jepun membeli balak haram dari hutan hujan yang diancam bahaya di Sarawak dan mendapat kelulusan ‘sah’ di bawah skim yang disokong kerajaan.

Global Witness dalam laporan terkini tersebut mendedahkan dua syarikat Jepun telah membeli balak daripada dua syarikat terbesar di Sarawak iaitu yang didakwa terlibat dalam ‘pembalakan haram sistematik dan merosakkan’.

Sementara itu, Awang Tengah memberitahu, nilai eksport balak Sarawak kebelakangan ini secara purata mencapai sekurang-kurangnya RM7.4 bilion.

Kerajaan katanya, akan terus menggerakkan misi-misi perdagangan, selain pasaran tradisional seperti Korea, Jepun, India, ke negara Eropah Timur dan Asia Barat.

Menurut beliau, satu misi perdagangan akan diadakan ke Kazakhstan tahun depan selepas negara itu menyatakan minatnya terhadap kayu dan produk kayu termasuk perabot keluaran Sarawak semasa pertemuan di antara beliau dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud dengan Perdana Menteri negara itu baru-baru ini.

“Mereka (Kazakhstan) mahu kita menganjurkan misi perdagangan agar hubungan bilateral dapat diperkukuhkan antara negara,” katanya.