Monday, July 13

Kepimpinan Islam diterima kerana bukan Islam yakin pimpinan orang Islam adil

0

LAWATAN KERJA: Daud merakam kenangan bersama rombongan Jabatan Mufti Negeri Selangor di kediamannya malam kelmarin.

KUCHING: Kepimpinan Islam diterima di negeri Sarawak kerana masyarakat bukan Islam menghormati dan yakin pimpinan orang Islam adalah adil dan saksama.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, selama 50 tahun Sarawak merdeka dalam Malaysia, negeri ini dipimpin oleh pemimpin Islam sejak 42 tahun lepas.

“Kepimpinan Islam diterima oleh masyarakat bukan Islam secara sukarela kerana yakin pimpinan Islam adalah adil dan bertangungjawab,” ujar Daud ketika menerima lawatan kerja daripada Jabatan Mufti Negeri Selangor di kediamannya di Jalan Matang Baru malam kelmarin.

Hadir pada majlis tersebut untuk bersama-sama menunaikan solat Maghrib dan Isyak ialah Mufti Sarawak Ustaz Kifli Yassin dan Mufti Selangor Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Majlis tersebut turut diadakan sempena perpisahan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Sarawak Abdul Hamid Mohamed Salleh yang akan bertugas di Putrajaya nanti.

Menurut Daud, masyarakat Islam mendapat penghormatan tersebut kerana masyarakat Islam menunjukkan perpaduan yang begitu baik sekali yang boleh dilihat melalui keputusan pilihan raya negeri dan Parlimen yang memihak kepada parti yang majoritinya mewakili masyarakat Islam iaitu Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

“Namun begitu, tanpa kerjasama dan sokongan antara masyarakat Islam dan bukan Islam, perpaduan tersebut tidak mungkin dapat dicapai.

“Sebagai contoh, wakil-wakil rakyat di kawasan bukan Islam turut memohon agar dibina masjid atau surau di kawasan mereka yang mempunyai penduduk Islam yang merupakan senario yang begitu unik yang hanya boleh didapati di negeri Sarawak,” tambah Daud.

Daud berkata walaupun cara pengendalian negeri Sarawak dalam agama Islam amat berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung Malaysia, namun yang penting ialah keikhlasan sesebuah masyarakat yang dibalas dengan keikhlasan daripada masyarakat lain yang menunjukkan kepercayaan antara satu sama lain.

“Kita mengakui cara negeri Sarawak mengendalikan agama Islam adalah begitu berbeza sekali dengan negeri-negeri lain kerana keunikannya dan kebanyakan isu yang berlaku di negeri lain langsung tidak relevan dengan negeri ini.

“Paling penting kita kendalikan agama Islam secara berhemah dan bukannya memberi kesangsian kepada masyarakat bukan Islam,” tambah Daud.

Beliau memberitahu, ia dibuktikan melalui pembinaan Pusat Penerangan Islam di mana reka bentuk bangunan-bangunannya melambangkan setiap masyarakat di negeri ini yang menunjukkan agama Islam adalah relevan untuk semua masyarakat.

“Ia dibina bukan untuk mengislamkan masyarakat bukan Islam tetapi untuk memberi penerangan kepada mereka malah sebanyak 35 peratus penggunaan pusat tersebut adalah daripada masyarakat bukan Islam yang menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan.