Polis kenal pasti identiti suspek kes bunuh Timbalan Ketua Pengarah Kastam

0

KUALA LUMPUR: Polis sudah mengenal pasti suspek yang terbabit dalam kes pembunuhan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Perkastaman/Cukai Dalam Negeri), Datuk Shaharuddin Ibrahim di Putrajaya pada 26 April lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur ACP Khairi Ahrasa berkata, pengecaman suspek berumur 22 hingga 30 tahun itu dibuat melalui foto dan tindakan memberkas suspek akan dibuat dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, beliau enggan menyiarkan gambar suspek kerana kes itu masih dalam siasatan.

Shaharuddin mati ditembak ketika dalam perjalanan ke pejabatnya di Putrajaya, April lalu.

Dua lelaki bermotosikal melepaskan tiga das tembakan ketika kenderaan yang dinaiki Shaharuddin berhenti di persimpangan lampu isyarat dari Lebuh Sentosa ke Lebuh Wawasan pada jam 8.15 pagi.

Dalam perkembangan lain, polis menahan pasangan suami isteri berumur 51 dan 55 tahun pada 28 Ogos lepas kerana dipercayai mendera anak lelaki mereka yang berusia 10 tahun di Jalan Pahang, Setapak, di sini.

Khairi berkata kedua-dua suspek yang merupakan peniaga itu ditahan susulan laporan polis oleh seorang guru sebuah sekolah di Setapak, sehari sebelum kejadian.

“Guru tersebut mendapati kanak-kanak malang itu mengalami kecederaan parah di bahagian badan, kaki, mulut dan kepala. Kanak-kanak itu hadir ke sekolah dengan keadaan luka yang kronik dan ibu bapanya dipanggil untuk diambil keterangan. — Bernama