Friday, July 10

Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia tiba di bandar Sri Aman

0

SRI AMAN: Sepuluh penunggang basikal serta empat kru logistik yang menjayakan Kayuhan Merdeka 1Malaysia tiba di bandar Sri Aman petang semalam, setelah melakukan perjalanan sejauh 1,100 kilometer dari Lawas pada 1 September lalu.

Rombongan penunggang basikal itu meluangkan masa selama sejam di Pusat Rehat dan Rekreasi Temudok dan ketibaan mereka disambut Pegawai Tadbir Sosial Pejabat Residen Sri Aman Zaidi Sarkawi dan para kakitangan kerajaan di Sri Aman.

Kemudian rombongan itu memulakan perjalanan berbasikal menuju ke pusat bandar Sri Aman pada jam 3 petang sambil diiringi kumpulan permotoran Sri Aman.

Ketua Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia Datuk Mohd Kepli Ahmad berkata, para peserta hanya menghadapi masalah kecil dari segi logistik dan mental sepanjang aktiviti berbasikal itu.

Mereka akan meneruskan perjalanan dari Sri Aman menuju ke Gedong pada 13 September ini, ujarnya.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dijangka menyempurnakan upacara pelepasan mereka dari Gedong menuju ke Serian pada 15 September depan.

“Mula dari Serian kami seterusnya akan menyambung perjalanan menuju ke Kuching sambil diiringi seramai 100 hingga 200 peserta berbasikal sebelum tiba di sana pada jam 4 petang,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pusat Rehat dan Rekreasi Temudok di sini, semalam.

Sementara itu rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia ini mempunyai seorang peserta perempuan termuda berusia 16 tahun manakala peserta tertua pula lelaki berumur 63 tahun.

Rombongan Kayuhan Merdeka 1Malaysia ini dijangka tiba di Padang Merdeka, Kuching pada 16 September bagi sama-sama menyerikan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Sarawak Merdeka Dalam Malaysia.

“Secara keseluruhannya kami berasa berpuas hati terhadap sambutan yang ditonjolkan oleh para penduduk dan agensi kerajaan ketika menyambut ketibaan rombongan kami ketika ini,” katanya.

Sebelum ini rombongan berkenaan turut singgah di Brunei pada 1 September, kemudian di Lawas dan Miri (2 September), Batu Niah (3 September), Bintulu (4 September), Mukah (6 September), Sibu (8 September) dan Saratok (9 September).