Tiada arahan keluarkan KP kepada PATI: Dr Mahathir

0

BERI KETERANGAN: Dr Mahathir hadir ke Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu di Kota Kinabalu semalam bagi memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai pendatang asing tanpa izin di Sabah. — Gambar Bernama

KOTA KINABALU: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam menjelaskan beliau tidak pernah memberi arahan agar kad pengenalan dikeluarkan kepada pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah ketika menyandang jawatan perdana menteri.

Dalam keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah di sini, Dr Mahathir berulang kali menegaskan bahawa pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dibuat berdasarkan undang-undang Malaysia dan Perlembagaan Persekutuan.

Menjawab soalan pegawai pengendali Manoj Kurup, Dr Mahathir, yang menjadi perdana menteri keempat Malaysia dari 1981 hingga 2003, juga berkata beliau tidak mengetahui langsung tentang apa yang dikenali sebagai ‘Project IC’ atau ‘Project Mahathir’ di Sabah, yang didakwa memberi kerakyatan kepada pendatang tanpa izin.

Manoj: Ketika menjadi perdana menteri dan menteri dalam negeri, pernah atau tidak anda mengeluarkan sebarang arahan agar IC diberi kepada pendatang asing tanpa izin?

Dr Mahathir: Tidak. Pengeluaran IC kepada pendatang asing tanpa izin dibuat mengikut Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang yang ada di Malaysia.

Manoj: Terdapat aduan bahawa ada pendatang tanpa izin di Sabah yang tidak layak menjadi warganegara, telah diberi IC oleh pihak berkuasa ketika itu melalui apa yang dipanggil sebagai ‘Project IC’. Adakah anda tahu tentang perkara ini?

Dr Mahathir: Hanya baru-baru ini saja saya mendengar tentang ‘Project IC’. Sebelum ini, saya tak tahu langsung tentang ‘Project IC’ ini.

Manoj: Sesetengah orang memanggilnya ‘Project Mahathir’. Adakah anda tahu mengenainya?

“Oh, terima kasih banyak-banyaklah kerana menggunakan nama saya untuk projek itu,” kata Dr Mahathir, yang disambut dengan ketawa oleh mereka yang hadir pada siasatan itu.

“Saya mendapat tahu nama saya diguna di merata tempat kerana pelbagai sebab. Mereka memanggil saya ‘rasis, ultra’, tapi saya tidak ambil kisah. Itu dah jadi sebahagian daripada kehidupan politik saya,” tambah beliau.

Dr Mahathir, saksi ke-209 dalam siasatan itu, juga menafikan beliau pernah memberi sebarang arahan atau kuasa kepada ketua menteri Sabah ketika itu, Tan Sri Harris Salleh, berhubung pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin.

Kata Dr Mahathir, ketika beliau menjadi perdana menteri, kerajaan mengamalkan dasar yang hanya memberi taraf kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin yang layak dan sudah lama tinggal di Sabah.

Sambil menjawab semua soalan yang dikemukakan kepadanya dengan tenang, Dr Mahathir, yang berpakaian sut kelabu, baju ungu dan tali leher merah manggis, berkata kerajaan memberi taraf kerakyatan kepada pendatang asing tanpa izin melalui prosedur biasa, sejajar dengan peruntukan undang-undang dan tanpa memerlukan arahan mengenainya.

Menjawab soalan Manoj berhubung keterangan saksi sebelum ini bahawa timbalan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Megat Junid Megat Ayub dan bekas setiausaha politik Dr Mahathir Tan Sri Abdul Aziz Shamsuddin mendakwa arahan berkenaan datang daripada beliau, Dr Mahathir berkata: “Tidak ada arahan daripada saya.”

Manoj: Dalam melaksanakan dasar kerajaan, adakah anda dapati bahawa pada zaman anda, arahan yang anda beri telah disalah tafsir?

Dr Mahathir: Ia sering juga disalah tafsir oleh petugas, kadang-kadang pada mesyuarat pascakabinet.

Manoj: Sekiranya anda mendapat tahu ia (arahan) tidak dipatuhi atau bercanggah dengan undang-undang dan peraturan, apakah yang akan anda lakukan?

Dr Mahathir: Apabila mendapat tahu mengenainya, saya akan adakan siasatan.

Menjawab soalan berkaitan sebuah buku tulisan Dr Chong Eng Leong berkaitan beliau, Dr Mahathir berkata beliau hanya melihat buku itu secara sekali lalu dan tidak berpeluang untuk membaca keseluruhan kandungannya.

“Ia suatu kajian akademik yang baik, tapi saya tidak tahu bagaimana kesimpulan boleh dibuat bahawa ‘Project IC’ adalah atas arahan saya,” katanya.

Manoj: Tapi, buku ini berulang kali menyebut bahawa Dr Mahathir telah memberi arahan.

Dr Mahathir: Saya mendapat tahu, jika orang menggunakan nama saya, sesuatu buku itu akan menjadi amat laris.

Merujuk kepada kandungan buku itu, Dr Mahathir menolak dakwaan kononnya ketika mempengerusikan satu mesyuarat, Megat Junid berkata beliau (Dr Mahathir) meluluskan pengeluaran kad pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin dengan berkata, “Saya tidak tahu suatu apapun mengenainya.”

Dr Mahathir, yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, juga memberitahu suruhanjaya itu bahawa pada 1990-an, beliau melaksanakan satu evolusi dengan memasukkan mikrocip ke dalam Kad Pengenalan bagi mengelak pemalsuan.

Ditanya pendapatnya tentang dakwaan seorang saksi bahawa sebanyak 113,850 kad bermasalah dikeluarkan antara 1979 dan 1988 di Sabah dan cadangan agar pemegang kad pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara untuk membetulkan butiran diri masing-masing bagi mengelak taraf kewarganegaraan mereka ditarik balik atau Kad Pengenalan mereka dibatalkan, Dr Mahathir berkata: “Jika langkah itu boleh menyelesaikan masalah, maka saya rasa pihak berkuasa patut menimbangnya.”

Terdahulu, ketika menjawab soalan Manoj, Dr Mahathir berkata beliau tidak membantah penubuhan suruhanjaya siasatan itu.

Kata bekas perdana menteri itu beliau sedar tentang kebanjiran pendatang di Sabah antara 1972 dan 1984, serta menyifatkan perkara itu sebagai kejadian biasa kerana ia juga berlaku sebelum Sabah menyertai persekutuan (Malaysia).

“Ini kerana mereka tidak mengiktiraf sempadan Sabah dan Filipina. Mereka datang dan pergi dengan sesuka hati. Ia bukan perkara baharu ketika itu,” katanya.

Manoj: Bagaimanakah hubungan Tun dengan kerajaan negeri di Sabah ketika itu (pada 1980-an)?

Dr Mahathir: Saya mempunyai hubungan baik dengan mereka. Kami sedar bahawa PBS bukan anggota BN, tapi kami ada parti pembangkang yang memerintah negeri seperti di Kelantan dan Pulau Pinang. Hubungan kami dengan mereka biasa sahaja, kami tahu isu tempatan mereka.

Manoj: Apabila PBS menang pada 1985, adakah anda membuat keputusan bahawa mereka perlu dikalahkan dengan apa cara sekalipun?

Dr Mahathir: Jika mereka pembangkang, kami perlu mengalahkan mereka dengan apa jua cara sekalipun, pada sepanjang masa.

Ditanya pengerusi suruhanjaya itu, bekas hakim besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Steve Shim Lip Kiong, tentang langkah yang perlu diambil terhadap pendatang asing tanpa izin dengan Kad Pengenalan yang meragukan, Dr Mahathir berkata terserahlah kepada kerajaan sekarang sama ada menerima atau mengusir mereka keluar dari negara ini.

Beliau juga bersetuju dengan Shim bahawa persepsi rakyat Sabah ialah isu Kad Pengenalan merupakan satu masalah yang sangat serius.

Shim: Tidak banyak yang dilakukan untuk menyelesaikan masalah ini, bukan?

Dr Mahathir: Ia bergantung pada orang yang berkuasa ketika itu, tapi kerajaan sekarang telah membuat keputusan betul apabila menubuhkan RCI bagi menyiasat masalah ini.

Shim: Pada masa anda, apakah langkah perlu yang diambil untuk manangani perkara ini? Adakah anda sedar sama ada mereka yang berkenaan layak atau tidak untuk mendapat kewarganegaraan?

Dr Mahathir: Pada masa saya, kami guna saluran biasa melalui pihak berkuasa berkenaan untuk mengeluarkan Kad Pengenalan, mengikut undang-undang.

Menjawab soalan berhubung dua pegawai tinggi JPN yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri kerana didakwa terlibat dengan ‘Project IC’, Dr Mahathir berkata mereka mungkin telah melakukan kesalahan, tetapi menegaskan bahawa kerajaan tidak akan menahan seseorang tanpa sebab.

Katanya bukan menjadi dasar kerajaan untuk mengeluarkan Kad Pengenalan kepada pendatang asing tanpa izin mengikut ‘jalan pintas’, yang bercanggah dengan prosedur biasa, seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu melakukan kesalahan, kami pasti mengambil tindakan,” katanya.

Pendengaran bersambung pada 19 Sept. Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka memberi keterangan pada tarikh itu.

Setakat ini, suruhanjaya itu telah mendengar keterangan 209 saksi. — Bernama