Yang di-Pertuan Agong berkenan hadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa

0

JABU

KUCHING:Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah serta Permaisuri Agong berkenan menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa sempena sambutan Hari Malaysia pada 16 September ini di Padang Merdeka.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang berkata turut mengesahkan kehadiran pada acara kemuncak sambutan Hari Malaysia Peringkat Negeri Sarawak itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Yang di-Pertuan Agong akan tiba di Kuching pada pagi 15 September 2013 (Ahad) dan pada sebelah malamnya baginda bersama permaisuri dan Perdana Menteri serta Timbalan Perdana Menteri akan bersama-sama rakyat menyaksikan pertunjukan kapal berhias di Sungai Sarawak.

“Manakala pada sebelah pagi keesokan harinya iaitu 16 September baginda akan menghadiri Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa yang turut dihadiri tetamu-tetamu kehormat lain,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Bangunan Bapa Malaysia dekat sini semalam.

Jabu yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Pemodenan Pertanian berkata pada istiadat perbarisan itu nanti sebanyak 63 kontinjen termasuk badan beruniform akan mengambil bahagian selain pertunjukkan lintas udara oleh Angkatan Tentera Malaysia menggunakan pesawat Nuri dan jet Sukhoi.

Beliau berkata sambutan kemuncak Hari Malaysia di Sarawak bermula dengan sambutan ulang tahun kelahiran Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin pada 14 September ini (Sabtu) di Stadium Negeri.

“Ini tidak bermakna sambutan tahun ini yang bertema ‘Sarawak Harmoni, Kemakmuran Dinikmati’ hanya disambut di bahagian Kuching, sebaliknya ia akan dipanjangkan ke peringkat bahagian dan daerah.

“Ini penting bagi membolehkan rakyat di kawasan luar bandar atau pedalaman negeri ini turut sama meraikan sambutan ulang tahun ke-50 Sarawak menyertai Malaysia,” katanya.

Sementara itu beliau memberitahu bahawa Sarawak akan memberi perhatian khusus kepada sambutan Hari Malaysia pada 16 September setiap tahun kerana ia tarikh yang sangat signifikan kepada pencapaian negeri ini sejak 50 tahun lalu.

Menurutnya tarikh 16 September sangat penting untuk diperingati khususnya dalam kalangan generasi muda yang kini hidup aman dan makmur hasil perjuangan 50 tahun lalu.

Generasi muda katanya tidak boleh memandang ringan terhadap pencapaian serta kemakmuran Sarawak selama ini kerana ia bukannya datang bergolek begitu sahaja tetapi menerusi pengorbanan serta perjuangan generasi terdahulu.

“Hargailah kemerdekaan yang dikecapi hari ini, ia tidak datang bergolek begitu sahaja, ramai nyawa terkorban dan perjuangan tanpa penat pemimpin serta generasi terdahulu.

“Lihatlah negara yang bergolak hari ini, Syria misalnya akibat pergolakan politik dan kerakusan pihak tertentu, rakyatnya menjadi mangsa.

“Kita tidak mahu perkara seperti ini berlaku di Malaysia dan Sarawak,” ujarnya.