Kawalan keselamatan dipertingkat berikutan pergolakan yang berlaku di selatan Filipina

0

HAMZA menunjukkan pistol yang berjaya dirampas semula daripada kedua-dua suspek di IPK Sabah kelmarin sambil diperhatikan oleh Abdul Malek (tengah).

KOTA KINABALU: Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hamza Taib berkata tahap keselamatan di negeri ini terus terjamin, termasuk di kawasan pulau-pulau berhampiran negara jiran, dan pasukan keselamatan mengikuti pergolakan yang berlaku di Zamboanga, selatan Filipina.

Menurut beliau, tahap kawalan keselamatan perairan sudah dipertingkatkan, termasuk penambahan satu pasukan batalion Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditempatkan di pulau-pulau bersempadan.

“Pagi tadi, saya telah menghadiri mesyuarat yang telah dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tan Sri Sukarti Wakiman berhubung isu-isu ini untuk menilai keselamatan kita.

“Semua pangkalan serta barisan-barisan hadapan telah dipertingkatkan dari segi kekuatan kita dan aset-aset yang ada daripada ATM, marin dan lain-lain yang mana boleh diperkatakan keselamatan kita memang terjamin,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Kepayan, di sini kelmarin. Hadir sama timbalannya, Datuk Abdul Malek Harun dan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun.

Baru-baru ini, bandar Zamboanga bergolak berikutan pertempuran pasukan Tentera Filipina dengan anggota Barisan Pembebasan Kebangsaan Moro (MNLF).

Kumpulan bersenjata yang merupakan pengikut pengasas MNLF, Nur Misuari, itu menyerang bandar berkenaan berikutan tindakan tentera kerajaan yang menyekat percubaan mereka menaikkan bendera pemisah di sebuah bangunan kerajaan.

Difahamkan, hampir 15,000 penduduk berhampiran kawasan terjejas dan melarikan diri daripada kawasan pertempuran.

Dalam perkembangan lain, Hamza berkata pihaknya berjaya menyelesaikan kes membabitkan kehilangan sepucuk pistol milik anggota polis berpangkat Lans Koperal yang ditemui semula baru-baru ini.

Menurut beliau, dalam kejadian pada 8 September lepas itu, difahamkan anggota berkenaan yang berusia 32 tahun telah kehilangan beg sandangnya yang mengandungi sepucuk pistol berserta 23 butir peluru ketika singgah ke sebuah tandas awam di Taman Tun Fuad Stephen, Bukit Padang.

“Ekoran daripada itu, siasatan telah dijalankan dan kita berjaya menahan dua lelaki di mana salah seorang daripadanya ditangkap di Kota Marudu manakala seorang lagi di Kota Kinabalu.

“Salah seorang daripada suspek telah membawa pihak polis ke sebuah rumah yang terletak di Country Height, Kota Kinabalu dan menunjukkan pistol yang disorok mereka,” katanya.

Kedua-dua suspek berusia 19 dan 21 tahun itu kini ditahan reman mengikut Seksyen 117 Kanun Keseksaan dan Seksyen 35 Akta Senjata Api.

Hamza turut menjelaskan anggota polis terbabit akan disiasat mengikut tata tertib bagi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) atau sebaliknya.