ALOR SETAR: Polis Kedah semalam meminta semua pemilik senapang angin di negeri itu menyerahkan senjata berbahaya berkenaan di balai polis berdekatan bagi mengelakkan mereka ditangkap.
Ketua Polis Kedah Datuk Ahmad Ibrahim berkata ramai penduduk, terutama di kawasan pedalaman, tidak tahu memiliki senapang angin adalah kesalahan mengikut Akta Senjata Api 1971.
“Senjata angin ini juga boleh mendatangkan kecederaan dan boleh membunuh dan saya nasihatkan sesiapa yang memiliki senapang angin agar menyerahkan kepada balai polis berhampiran dengan segera,” katanya dalam sidang media, di sini.
Beliau juga menegaskan orang ramai yang menyerahkan senjata itu secara sukarela tidak akan dikenakan tindakan.
Katanya sejak Ops Cantas Khas dilancar hingga sekarang, polis Kedah telah merampas 13 senapang angin dengan kes terbaharu membabitkan tangkapan dua lelaki, berusia 20 tahun dan 30-an di Sik kelmarin.
Polis merampas dua laras senapang angin daripada serbuan jam 2.30 pagi dan 3.30 pagi itu, katanya, menambah polis percaya senjata terbabit diperoleh dari negara jiran.
Mengenai Ops Cantas Khas Kedah, Ahmad berkata setakat ini pihaknya menangkap 514 orang daripada 5,581 yang diperiksa, selain menahan 37 lelaki mengikut Akta Pertubuhan 1966.
Sepanjang tempoh itu juga polis merampas 22 kenderaan, empat pucuk pistol, tujuh senapang tempur, 13 senapang angin, 12 parang panjang, sebilah pisau spring, sebilah pisau bersarung, kerambit dan dua buku lima.
Polis juga katanya mengetatkan kawalan di sepanjang jalan Sungai Petani-Bukit Kayu Hitam selain pemeriksaan teliti terhadap individu yang bertatu.
“Kita akan tahan mereka terutamanya mereka yang bertatu dan kita percaya mereka guna laluan ini untuk masuk ke negara jiran bertujuan untuk berkumpul.
Operasi ini kita akan beri tumpuan di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda dan Kulim,” katanya. — Bernama