Jom sertai tarik tali Pesta Kabong

0

KABONG: Jawatankuasa Induk Pesta Kabong 2013 mempelawa penggiat dan peminat sukan tarik tali khususnya di Sarawak menyertai pertandingan Tarik Tali Lelaki Piala Pusingan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Pertandingan berkenaan dianjurkan sempena Pesta Kabong dan Karnival Perpaduan 2013 mulai 27 hingga 29 September akan datang di sini.

Jawatankuasa Penganjur, John Jemat berkata tarikh tutup penyertaan pada 27 September 2013 yang mana taklimat, cabutan undi serta timbang turut diadakan pada hari sama jam 8.30 pagi.

“Pertandingan akan bermula pada hari sama (27 September) pada jam 2.30 petang di padang SK Abang Leman, Kabong,” katanya ketika dihubungi semalam.

Menurut John, yuran penyertaan untuk pertandingan ini ialah RM150 untuk satu pasukan dan sistem pertandingan serta perlawanan akhir bagi menentukan juara hingga tempat keempat adalah bergantung pada penyertaan.

“Setiap pemenang akan membawa pulang hadiah berupa wang tunai yang lumayan selain piala serta medal daripada pihak penganjur.

“Hadiah tertakluk kepada penyertaan iaitu sekiranya penyertaan kurang daripada enam pasukan maka hadiah dikekalkan seperti tahun 2011 iaitu RM3,000 untuk johan diikuti RM2,000, RM1,000 dan RM500 masing-masing kepada naib johan hingga tempat keempat.

“Manakala, jika penyertaan adalah lebih daripada 6 pasukan, maka hadiah akan ditambah seperti johan membawa pulang RM5,000 beserta piala dan medal diikuti RM3,000 dan 2,000 serta piala dan medal masing-masing kepada naib johan dan tempat ketiga dan RM1,000 kepada tempat keempat,” katanya.

Jelasnya, acara yang sudah menjadi ikon kepada Pesta Kabong ini bakal disertai pasukan jemputan dari Brunei.

Justeru, pasukan yang ingin menguji kemantapan pasukan mereka dipelawa untuk mengambil bahagian dan sebarang pertanyaan bolehlah menghubungi John menerusi talian 013-8947176 atau Ismail Deni (014-8885560) atau Pejabat Daerah Kecil Kabong di talian 083-411267.

Selain itu, pasukan yang memerlukan tempat penginapan semasa pertandingan boleh menghubungi pihak SK Abang Leman iaitu Opie di talian 019-8565279.