Pelados Eputra A muncul juara Kejohanan Futsal Piala Puteri

0

KAMI JUARA: Pasukan Pelados Eputra A bersama jawatankuasa penganjuran sebaik sahaja pertandingan melabuhkan tirainya.

SARIKEI: Pasukan Pelados Eputra A mencatatkan kenangan manis, apabila muncul juara Kejohanan Futsal Piala Puteri Faz yang mengetengahkan tema ‘Belia sihat pewaris pemimpinan negara’.

Kemenangan tersebut membolehkan Pelados Eputra A membawa pulang hadiah wang tunai RM1,200 sekali gus menjulang Piala Puteri Faz 2013, di Gelanggang Futsal Kementerian Pembangunan Sosial (KPS) Sarikei, kelmarin.

Tempat kedua milik pasukan S.M.E yang menerima wang tunai RM800 manakala ketiga disandang skuad A –One F.T dengan hadiah RM500.

Menurut Pengurus Pasukan Pelados Eputra A, Mohd Faizal Ismail, pasukan itu telah menyertai banyak kejohanan.

“Kejayaan kali ini bukanlah yang pertama. Bagaimanapun, bagi kita, ia memang amat bermakna kerana melambangkan kerjasama,  kesepakatan dan toleransi antara ahli pasukan,” katanya.

Beliau memberitahu, Pelados tidak mempunyai formula tertentu namun setiap pemain memiliki semangat dan kemahiran mereka yang tersendiri.

“Faktor—faktor itulah yang mendorong kita untuk mengekalkan prestasi baik dan kemenangan pada kali ini.

“Kita berhasrat untuk mencipta kemenangan di peringkat yang lebih tinggi. Impian itu bukan angan-angan kosong dan kita yakin mampu merealisasikannya.

“Sehubungan itu, saya juga berharap aktiviti bersukan seperti ini tidak terhenti selepas kejohanan ini, malah terus diadakan di peringkat daerah bagi mengekalkan budaya hidup sihat di kalangan belia tempatan,” katanya.

Pada aksi perlawanan akhir itu, Pelados ternyata unggul  apabila menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama dan terus menguasai perlawanan dengan menambah derita pencabarnya pada separuh masa kedua.

Dalam pada itu, Mohd Sabri Talib dinobatkan pemain terbaik.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Juliet Ono berkata, kejohanan itu merupakan yang kedua pernah dianjurkan oleh mereka.

“Pada tahun lalu, kita adakan di Sibu manakala tahun ini pula kita memilih Sarikei. Sebagai penganjur, kita berasa bertuah kerana mendapat sokongan padu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Promosi Pendidikan Teknikal), Datu Len Talif Salleh yang sudi menghulurkan bantuan. Sumbangan beliau banyak membantu kejayaan penganjuran pertandingan kali ini,” katanya.

Hadir sama pada majlis penyampaian hadiah Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Bahagian Sarikei, Abang Zaini Abang Ismail.