Pelajari sifat ‘buta warna’ kanak-kanak

0

Kanak-kanak tidak melihat warna kulit semasa bermain, perpaduan mudah dipupuk

KUALA LUMPUR: Setiap pagi, Saiful Na’aim Harun akan bertandang ke rumah rakannya, V. Jeganathan sebelum pergi ke sekolah yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah.

Itu kisah lima tahun dahulu, namun setelah mereka menginjak usia remaja, persahabatan itu semakin renggang apabila kedua-duanya memasuki sekolah menengah dan lebih selesa berada dalam kumpulan kaum masing-masing.

Realiti itu banyak berlaku pada masa kini, dan menurut Presiden Yayasan 1Malaysia Prof Dr Chandra Muzaffar perkara ini berlaku kerana sifat keremajaan yang menyebabkan seseorang itu lebih sedar tentang identiti apabila mencapai usia sebegitu.

Justeru, Chandra berpendapat adalah penting untuk memastikan interaksi antara kaum dalam diri kanak-kanak bermula seawal usia, iaitu dari peringkat taska dan tadika.

“Itu adalah sebab mengapa kita harus memupuk konsep identiti yang lebih bercirikan Malaysia di kalangan murid-murid di peringkat sekolah rendah supaya di peringkat remaja mereka lebih membuktikan orientasi yang kurang terikat pada identiti kaum masing-masing,” katanya kepada Bernama.

Pendapat yang sama turut dikongsi Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia Tan Sri Lee Lam Thye yang menyifatkan kanak-kanak sebagai ‘buta warna’ kerana tidak melihat kepada warna kulit antara kaum semasa bermain dan lebih terbuka menerima rakan yang berada di persekitaran mereka.

Orang dewasa, katanya, harus mempelajari sifat ‘buta warna’ daripada kanak-kanak supaya semangat perpaduan antara kaum dan etnik di Malaysia yang mula terjalin sewaktu kecil terus berkekalan.

Bercakap mengenai hubungan antara etnik, Lee menzahirkan rasa kagum dengan penduduk Sabah dan Sarawak yang dapat hidup dalam suasana yang cukup harmonis dan berkeupayaan mencari persamaan dalam perbezaan meskipun mereka terdiri daripada pelbagai etnik.

“Penduduk Sabah dan Sarawak hidup atas konsep saling menghormati masing-masing menerima, memahami dan menghormati budaya, adat resam, agama dan kepercayaan setiap etnik dan hubungan itu dieratkan dengan budaya kahwin campur dan diterima secara terbuka,” katanya.

Mengulas mengenai keharmonian itu, Chandra pula berkata ia berlaku dari segi interaksi sosial, iaitu antara lain disebabkan tiada kaum atau etnik yang majoriti di negeri berkenaan.

“Semua kaum adalah minoriti berdasarkan jumlah masing-masing dan dalam persekitaran sedemikian rupa, tolak ansur serta kerjasama lebih mudah berlaku.

“Selain itu, agama juga tidak boleh dikaitkan dengan kaum di Sabah atau Sarawak, bermaksud terdapat sebagai contoh (seorang) Kadazan yang menganuti agama Islam atau Kristian, dan ini mengurangkan sentimen pemisah antara kaum,” katanya.

Bagaimanapun, dalam keharmonian itu, Chandra berpendapat sudah wujud polarisasi kaum tempias gelanggang politik kepartian sejak kebelakangan ini yang dapat dilihat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu dan juga Pilihan Raya Negeri.

Katanya adalah penting untuk semua parti politik tidak kira Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat mendekati isu-isu politik dan ekonomi dari perspektif yang lebih luas yang tidak terbatas pada kaum tertentu, selain tidak memanipulasi sentimen kaum sehingga menjejaskan perpaduan rakyat.

Bagi memperkasa perpaduan antara kaum, Chandra berkata anak kunci keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama seperti Malaysia terletak pada keadilan yang bersifat menyeluruh dan seimbang.

“Keadilan yang menyeluruh dan seimbang hanya akan wujud sekiranya terdapat persefahaman dan empati antara kaum yang perlu dipupuk melalui keluarga, sistem pendidikan, institusi agama dan budaya serta saluran media,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM) Dr Sivamurugan Pandian berkata nilai utama yang perlu ada dalam diri setiap rakyat adalah kesederhanaan supaya isu yang boleh menggugat perpaduan dapat ditangani secara berhemah.

“Kita tidak boleh terlalu sensitif atau bersifat radikal jika dijentik dengan perkara yang menyentuh perkauman, sebaliknya perlu bersifat matang kerana keharmonian yang kita nikmati bukan berlaku dalam masa setahun dua, sebaliknya mengambil masa yang sangat lama dan merupakan (hasil) perjuangan tokoh terdahulu,” katanya. — Bernama