Permuafakatan majukan Sarawak

0

SELAMAT HARI MALAYSIA: Tuanku Abdul Halim bersama Tun Salahuddin (tengah) dan Najib mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sarawak.

Terus membangun, jadi negeri maju dengan permuafakatan kerajaan pusat, negeri

KUCHING: Sarawak akan terus membangun dan menjadi negeri maju dengan wujudnya permuafakatan antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri yang terjalin menerusi politik.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata permuafakatan seumpama itu akan diteruskan dan diperkukuhkan menerusi kerjasama dalam Barisan Nasional (BN) yang telah terbukti berjaya membangunkan negara.

Menurutnya perjuangan membangunkan Sarawak di peringkat kerajaan pusat mahupun kerajaan negeri adalah bertitik tolak daripada keputusan tepat para pemimpin dan rakyat memilih menyertai pembentukan Persekutuan Malaysia 50 tahun lalu.

Pemimpin masa lampau dan warga Sarawak katanya, telah mengambil keputusan tepat menerusi Suruhanjaya Cobbold kerana memilih menyertai penubuhan Malaysia apabila negeri ini sekarang mengalami pembangunan pesat.

“Permuafakatan ini menjanjikan Sarawak akan lebih maju dalam tempoh 50 tahun akan datang.

“Saya mewakili kerajaan pusat akan terus membantu dan menyokong untuk men gubah negeri ini menjadi lebih maju,” katanya berucap pada upacara Istiadat Perbarisan dan Rapat Raksasa Sambutan Hari Malaysia di Padang Merdeka di sini semalam.

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan berangkat menyempurnakan istiadat itu yang turut dihadiri Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.

Upacara tersebut juga dihadiri Yang di-Pertua Negeri Tun Datuk Patinggi Abang Muhammad Salahuddin dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Norkiah, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

Sambil bersyukur dengan kejayaan sambutan Hari Malaysia Ke-50 bertemakan ‘Sarawak Harmoni Kemakmuran Dinikmati’, Najib berkata masih ada agenda pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan di Sarawak.

Menurutnya, agenda pembangunan di luar bandar tetap menjadi keutamaan kerajaan agar tidak ketinggalan berbanding keadaan di Semenanjung Malaysia.

“Kita telah menyelesaikan agenda ini tetapi masih ada lagi yang belum dapat kita tunaikan, sebab itu pada masa akan datang kita mempunyai beberapa matlamat. Ini adalah komitmen kita,” jelasnya.

Sambutan Hari Malaysia menurutnya wajar dijadikan titik tolak untuk mengukuhkan jati diri setiap rakyat agar terus membangun dalam kepelbagaian kaum.

Justeru, katanya sambutan Hari Malaysia bukan diukur dengan kemeriahan, kehadiran orang ramai dan letupan meriam tetapi lebih bernilai dengan penghayatan mendalam terhadap makna kemerdekaan.

“Sesungguhnya perjalanan negara kita untuk sampai ke tahap ini bukan satu perjalanan yang mudah dan tidak boleh terhasil dalam masa yang singkat, pelbagai jerih payah dan cabaran terpaksa kita tempuh untuk negara kita yang tercinta ini berdiri teguh sebagai sebuah negara yang berdaulat,” ujarnya.

Perdana Menteri turut berbangga melihat warga Sarawak yang mempunyai semangat perpaduan kukuh meskipun mempunyai 27 suku kaum, lantas ia menjadi antara faktor dalam melaksanakan program pembangunan.

“Inilah keistimewaan dan inilah keunikan negeri Sarawak yang mesti kita pupuk dan perkuatkan lagi supaya berdasarkan perpaduan itu Sarawak akan terus maju,” katanya.