Friday, May 24

Shafie yakin MARA mampu laksana agenda pemerkasaan ekonomi Bumiputera

0

MUAR: Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yakin Majlis Amanah Rakyat (MARA) mampu melaksanakan tanggungjawabnya melaksanakan Agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera.

Ini kerana agensi di bawah kementeriannya itu sudah menjalani penambahbaikan dan bersedia menggalas misi memastikan usaha meningkatkan daya upaya orang

Melayu dan Bumiputera khususnya dalam bidang pendidikan dan keusahawanan.

“Kita sudah menambah baik agensi ini supaya tiada kepincangan ketika kita melaksanakan dasar yang diberikan kepada agensi ini,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri majlis perjumpaan Hari Raya Umno bahagian Bakri di kediaman Ketua Umno bahagian itu, Datuk Seri Saipolbahri Shuib di Kampung Tengah, Air Hitam di sini malam kelmarin.

Kira-kira 10,000 orang hadir di majlis itu termasuk Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi.

Shafie berkata Mara yang menerima suntikan dana pendidikan RM1 bilion untuk membiayai program latihan, pendidikan, keusahawanan dan inovasi kepada golongan muda di bawah agenda itu telah melatih dan menghantar ramai anak muda dari luar bandar melanjutkan pengajian di luar negara sejak sekian lama.

Katanya dengan pemantauan oleh sebuah agensi yang dipengerusikan sendiri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin, akan membantu pelaksanaan program itu mencapai matlamat seperti dikehendaki.

Di KUANTAN, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob menyifatkan pengumuman agenda itu sebagai ‘upah’ kepada orang Melayu yang setia menyokong kerajaan Barisan Nasional selama ini.

Beliau berkata pengumuman itu juga memperlihatkan kerajaan komited melonjakkan lagi pembangunan ekonomi golongan Bumiputera.

“Satu langkah baik untuk golongan Bumiputera, ditambah lagi apabila Perdana Menteri sendiri yang akan mengetuai beberapa bahagian penting dalam agenda ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan sambutan Hari Malaysia ke-50 peringkat negeri. — Bernama

Adnan dalam pada itu turut menasihatkan golongan Bumiputera agar mengubah sikap negatif mereka dalam bidang ekonomi bagi memastikan agenda itu mencapai sasaran. — Bernama