Bomba berusaha wujud 77 ‘fire point’ bantu padam kebakaran

0

SIBU: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak dalam usaha mewujudkan 77 ‘fire point’ di seluruh negeri bagi membantu memadamkan kebakaran awal.

Pengarah JBPM Sarawak Nor Hisyam Mohammad yakin pihaknya mampu mencapai sasaran itu sebelum hujung tahun ini meskipun berhadapan dengan masalah kekurangan bajet serta tajaan bagi menjayakan projek tersebut.

“Kami menyasarkan 77 ‘fire point’ di Sarawak tahun ini.

“Setakat ini, kamitelah mewujudkan 30 termasuk di Kampung Baharu di sini,” katanya di sini kelmarin.

Menurut Nor Hisyam, program tersebut bertujuan melibatkan penyertaan masyarakat terutama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dalam membantu memadamkan kebakaran.

Pada Mei lalu, ‘fire point’ yang pertama di sini diwujudkan di sebuah rumah di Kampung Pa’Dris, diikuti di Surau Darul Ma’wa, Kampung Baharu pada Ahad lalu.

Menurut Ketua Bomba Zon Sibu Abdul Mutalib Rashid, masyarakat terutama penduduk kampung boleh menggunakan alat pemadam api yang disediakan untuk memadamkan kebakaran sementara menunggu pihak bomba tiba.

Setiap ‘fire point’ ini dilengkapi dengan dua unit alat pemadam api mudah alih yang masing-masing seberat empat kilogram.