Monday, July 13

Dua isteri, seorang suami dilaporkan hilang di Sibu

0

SIBU: Seorang suami minta bantuan orang ramai untuk mencari isterinya yang dikenali sebagai Gelina Gindi yang tidak pulang dari tempat kerjanya di ladang Kuantas Batu 2 Sepiring, Selangau sejak lebih dua mingu lalu.

Menurut laporan, Gelina, 41, Kad Pengenalan (721030135900) tinggal di Rumah Nelson Sembilan, KM96 Jalan Sibu-Bintulu, Selangau keluar dari rumah sejak jam 6.30 pagi 28 Ogos lalu.

Pada hari yang sama, jam 7 petang Gelina ada menghubungi anak lelakinya untuk memaklumkan bahawa dia terpaksa ke Miri untuk menemui pengamal perubatan tradisional.

Suaminya yang dikenali sebagai Jawal Engging, 40, berusaha untuk menghubungi telefon bimbitnya namun usahanya menemui jalan buntu.

“Kami telah berkahwin sejak 25 tahun dan dikurniakan tiga orang anak berumur antara 20 hingga 24 tahun dan sudah mempunyai tujuh cucu,” kata Jawal.

Difahamkan kali terakhir Gelina keluar dari rumah memakai kemeja-T berwarna hijau lengan panjang dan seluar panjang berwarna hitam.

Pengadu meminta sesiapa yang mempunyai maklumat di mana isterinya berada diminta agar menghubunginya di talian 014-8989346 atau menghubungi Balai Polis Sentral Sibu di talian 084-336144.

Dalam kes berasingan, seorang lagi pengadu dikenali sebagai Roma Melina, 27, mendakwa isterinya, Tambung Lapok, 23, hilang sejak 6 September lalu.

Katanya, isterinya yang keluar dari rumah mereka di Pulau Li Hua pada jam 7 petang gagal dikesan sehingga kini.

Sementara itu, seorang lelaki, Tito Elvis, 25, juga dilaporkan hilang oleh isterinya, Jennifer Bin, 27, sejak dia pergi kerja di RH Hotel di sini pada 2 September lalu.

Bimbang atas keselamatan suaminya, isterinya membuat laporan polis selepas suaminya gagal pulang ke rumah mereka di Rumah Dana, Bukit Penyau pada hari itu.