Kementerian Pendidikan siasat guru merasuah untuk pertukaran tempat kerja

0

KUCHING: Kementerian Pendidikan sedang melakukan penyiasatan secara terperinci berhubung dakwaan guru yang membuat pembayaran melalui orang tengah untuk tujuan pertukaran tempat kerja.

Timbalan Menteri Pendidikan Kedua Kamalanathan Panchanathan berkata, untuk tujuan itu juga kementerian bakal mewujudkan bahagian integriti yang akan melaporkan tindakan tidak bertanggungjawab itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita memandang serius pertuduhan ini kerana kita tidak mahu kakitangan kerajaan terlibat atau ada kena mengena dalam isu ini.

“Jika didapati (kes itu) benar wujud, kita akan mengambil tindakan sewajarnya bagi membanterasnya daripada berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Sambutan Hari Malaysia Peringkat Zon Sarawak di Kolej Komuniti Kuching, Jalan Sultan Tengah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar nasional pada Jumaat lalu berhubung guru sanggup membayar duit kopi kepada orang tengah setelah kecewa permohonan untuk pertukaran tidak berjaya.

Kamalanathan berkata, bagaimanapun siasatan setakat ini mendapati orang tengah yang dikatakan itu tidak wujud.

Beliau turut menasihati orang ramai khasnya guru untuk tidak mudah terpedaya sekiranya ada pihak menawarkan bantuan dalam proses penempatan kerja kerana ia mungkin penipuan semata-mata untuk mengaut keuntungan.

“Saya mengesahkan di sini tidak ada orang tengah kerana mereka sendiri tahu benda (pertukaran) tidak boleh berlaku (sewenang-wenangnya),” katanya.

Sementara itu, ketika ditanya jika Kementerian Pendidikan mempunyai cadangan untuk menambah bilangan Sekolah Model Khas Komprehensif K-9 di Sarawak, beliau berkata:

“Kita perlu meneliti permohonan terlebih dahulu sekiranya ada.”

Setakat ini, negeri ini hanya mempunyai sebuah sekolah K-9 iaitu di Long Bedian.