Wednesday, September 23

NGO disaran bantu tangani jenayah berat dan gengsterisme belia

0

PUTRAJAYA: Badan bukan kerajaan (NGO) disaran memainkan peranan untuk membantu kerajaan menangani jenayah berat dan gengsterisme dalam kalangan belia.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M.Saravanan berkata NGO jangan hanya tahu mengeluarkan kenyataan dan menyalahkan pihak tertentu setiap kali berlakunya insiden jenayah membabitkan belia.

“Janganlah tubuhkan NGO hanya untuk memohon peruntukan daripada kerajaan tetapi tidak mahu menjalankan tanggungjawab membantu memperkasa belia,” katanya kepada pemberita di sini semalam.

Beliau berkata kementerian menyediakan banyak program untuk membantu golongan belia tetapi sokongan NGO masih diperlukan bagi memastikan keberkesanan program itu.

Sementara itu, Saravanan berkata kementerian akan menganjurkan forum belia kebangsaan ‘Perencanaan Holistik dan Pelan Tindakan Menangani Jenayah Berat dan Gengsterisme Dalam Kalangan Belia Malaysia’ pada 28 Sept.

Forum sehari di Pusat Dagangan Dunia Putra itu antara lain bertujuan berkongsi idea bersama pihak berkepentingan untuk mencari pendekatan efektif dalam mengatasi isu belia.

Beliau berkata antara topik yang bakal dibincangkan ialah ‘Statistik Jenayah dan Gengsterisme’, ‘Analisis Akademik’ dan ‘Tindakan Strategik Menangani Isu Jenayah’ dan ‘Gengsterisme Dalam Masyarakat’.

Sebanyak 200 peserta terdiri daripada golongan belia, pemimpin masyarakat, Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Persatuan Penduduk dan orang perseorangan dijangka mengambil bahagian. — Bernama