Realisasikan impian Ngap Sayot

0

KUCHING: Penyerang berbisa , Bobby Gonzales  optimis Sarawak mampu menamatkan ego Lions XII FC apabila dua juara itu sekali lagi bersemuka dalam aksi Piala Malaysia 2013 saingan Kumpulan D, di Stadium Jalan Besar, Singapura malam ini.

Bobby percaya misi itu mampu dicapai memandangkan skuad Ngap Sayot berada dalam prestasi ter- baik ketika ini.

Ketika dihubungi semalam, Bobby yang juga penjaring terbanyak Sarawak turut mengingatkan pemain-pemain lain agar memberikan perse mbahan terbaik bagi merealisasikan impian untuk melangkah awal ke pusingan suku akhir.

“Kita tahu Lions XII FC tidak akan memberi laluan mudah kerana mereka turut mengidamkan laluan ke suku akhir,” katanya di sini semalam.

Namun, katanya, beliau percaya dengan keupayaan skuad ini dan kita bersedia untuk memberi kejutan kepada pihak lawan.

Menurut Bobby, latihan di padang rumput tiruan di Kuala Lumpur sebelum ini memberikan beliau dan rakan-rakan keyakinan untuk membenam skuad Singa yang cukup kebal di Stadium Jalan Besar.

“Kita tahu, Lions XII mempunyai rekod baik di laman sendiri. Namun, ia tidak bermakna mereka tidak dapat ditumpaskan.

“Bagi saya, bermain di padang sebenar atau tiruan tetap sama kerana yang penting kerjasama serta komitmen daripada rakanrakan seperjuangan,” tambahnya.

Bobby berkata, prestasi semasa rakan-rakan lain memberikan beliau keyakinan untuk beraksi cemerlang malam ini bagi menumpaskan juara Liga Super 2013.

Setakat ini, Bobby telah menjaringkan dua gol sepanjang saingan Piala Malaysia musim ini.

Sarawak menewaskan Lions XII FC dengan 2-1 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Negeri, Kuching pada 24 Ogos lalu.

Mereka akan layak secara automatik ke suku akhir Piala Malaysia sekiranya berjaya menang pada pertemuan malam ini.

Perlawanan malam ini juga akan disiarkan secara langsung di saluran 801 Astro Arena pada jam 7.45 malam.