Tuesday, November 12

Agrobank serah zakat perniagaan RM131,870.24 kepada Sarawak

0

TANGGUNGJAWAB: Taib menyerahkan semula zakat perniagaan Argobank kepada Daud setelah menerimanya daripada Wan Mohd Fadzmi (dua kiri). Turut kelihatan Faizah, Putit dan Misnu.

KUCHING: Agrobank semalam menyerahkan zakat perniagaan 2012 sebanyak RM131,870.24 kepada negeri Sarawak menerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Tabung Baitulmal Sarawak (TBS).

Majlis penyerahan zakat berlangsung di sebuah hotel di sini dan Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menerimanya bagi pihak PPZ Tabung Baitulmal Sarawak yang disampaikan oleh Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Wan Mohd Fadzmi Wan Omar.

Hadir menyaksikan penyerahan zakat itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman, Pengerusi Agrobank Tan Sri Faizah Mohd Tahir, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Datu Misnu Taha, Yang Dipertua Majlis Islam Sarawak Datu Putit Matzen dan Pengarah Jabatan Agama Islam Sarawak Ismail Mohd Hanis dan Pengurus Besar TBS Datu Abang Mohd Shibli Abang Mohd Nailie.

Sementara itu menurut kenyataan akhbar yang diberikan kepada wakil media, penyerahan zakat perniagaan itu diadakan sempena Program Satu Hati Titian Budi 2013 anjuran Agrobank.

Program yang dahulunya dikenali Program Kembara Kasih merupakan inisiatif bagi mendekatkan Agrobank dengan golongan sasaran di samping merapatkan hubungan antara pihak pengurusan dan kakitangan di peringkat cawangan.

Program berkenaan diadakan selama tiga hari bermula semalam melibatkan destinasi dari Kuching ke Sibu, Mukah, Matu, Daro dan berakhir di Kapit, pemilihan adalah berdasarkan lokasi, kesesuaian termasuk kekerapan lawatan oleh pihak pengurusan ke cawangan tersebut.

Ia juga merupakan gabungan sesi lawatan dan aktiviti kemasyarakatan bagi melaksanakan tanggungjawab sosial dalam usaha mendekatkan pelanggan dan golongan sasar iaitu petani, penternak dan nelayan serta pengusaha juga usahawan asas tani khususnya di Sarawak.

Selain menyerahkan zakat perniagaan kepada TBS, Agrobank turut menyerahkan zakat kepada 100 asnaf miskin dan 10 masjid terpilih dengan sumbangan zakat berjumlah RM35,000.

Beberapa aktiviti gotongroyong membersihkan masjid dan aktiviti kemasyarakatan di Oya juga dirancang termasuk penyampaian sumbangan kepada mangsa kebakaran di Kampung Datu, Sibu serta Hari Bertemu Pelanggan di Agrobank Cawangan Kapit.

“Diharapkan program seperti ini akan diadakan setiap tahun selaras dengan moto ‘Sentiasa di Sisi Anda’.

“Agrobank komited menyediakan perkhidmatan perbankan moden kepada masyarakat di luar bandar dan kawasan kurang atau tiada kemudahan perbankan.

“Sehubungan itu, Agrobank akan membuka beberapa cawangan baharu di kawasan berkenaan sebagai tambahan kepada 189 cawangan sedia ada di seluruh negara,” jelas kenyataan itu.