Igan Vill ungguli kejohanan Futsal KFDD

0

JUARA: Fauziah (tengah) menyampaikan hadiah kepada pemenang.

MUKAH: Pasukan Igan Vill muncul juara dalam kejohanan Futsal KFDD siri 3/2013 anjuran Kelab Futsal Daerah Dalat di Stadium Perpaduan Dalat.

Sementara itu, pasukan Azzuri 175 mendapat tempat kedua dan Atomeda FT dan Press Metal Sarawak (A) menduduki tempat ketiga bersama.

Pasukan Igan Vill berjaya membawa pulang wang tunai RM600, piala dan medal. Pasukan Azzuri 175 pula menerima wang tunai RM400, piala dan medal dan Atomeda FT dan Press Metal Sarawak (A) masing-masing meraih wang tunai RM200, piala dan medal.

Penyelaras bersama, Royston Valentine mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ahli Parlimen Mukah Datuk Sri Muhammad Leo Toyad yang memberi sokongan dana bagi menjayakan aktiviti tersebut.

“Beliau sangat prihatin terhadap kegiatan belia terutamanya di kawasan Parlimen Mukah dan beliau terus memberi sokongan yang baik kepada apa sahaja aktiviti yang dirancang oleh para belia,” katanya.

Sementara itu, Royston berkata, Kelab Futsal Daerah Dalat yang bernaung di bawah Persekutuan Belia Parlimen Mukah dijangka mengadakan satu lagi kejohanan Futsal ‘Gold Series’ 2013 pada hujung tahun ini sempena sambutan Krismas dan Tahun Baharu 2014.

Selain itu, Royston juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pengerusi Kelab Futsal Dalat, Daniel Francis Klumai serta belia-belia Dalat yang sentiasa menyokong dan terus bekerjasama menjayakan aktiviti yang dirancang oleh Persekutuan Belia Parlimen Mukah.

“Belia-belia Dalat sentiasa terus menunjukkan respon yang positif terhadap apa sahaja aktiviti yang dirancang oleh Persekutuan Belia Parlimen Mukah. Semangat kerjasama di kalangan mereka adalah tinggi.

“Dengan kerjasama yang mereka telah berikan, kita berjaya mengadakan dua siri lalu iaitu siri pertama dan kedua sempena Tahun Baharu Cina dan Hari Gawai dengan jayanya,” katanya.

Majlis penyampaian hadiah disampaikan oleh Pengerusi Persekutuan Belia Parlimen Mukah, Faziah Adeni.