Jenazah Sherol Aizam selamat dikebumi

0

SELAMAT DIKEBUMIKAN: Jenazah Sherol disembahyangkan sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar di Ipoh, semalam. Jenazah ini di simpan di rumah mayat Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh (HRPB) sejak dua bulan lalu selepas bapanya tidak puas hati dengan proses bedah siasat yang dijalankan. — Gambar Bernama

IPOH: Jenazah Sherol Aizam Mohd Damanhuri, 27, yang meninggal dunia pada 20 Julai lepas, akhirnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gurap, Jalan Kuala Kangsar di sini semalam selepas bapanya membatalkan hasrat untuk merayu bedah siasat kedua dilakukan terhadap mayat anaknya.

Bapa Allahyarham, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, sebelum ini enggan mengebumikan mayat anaknya bagi membolehkan bedah siasat kedua dilakukan berikutan tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat pertama.

Sherol Aizam meninggal dunia ketika dilaporkan cuba menceroboh masuk sebuah rumah jiran dan tersepit di celah palang besi tingkap dapur kediaman itu.

Pada 27 Julai, Mohd Damanhuri membuat laporan di Balai Polis Manjoi di sini kerana tidak berpuas hati dengan keputusan bedah siasat  yang mendapati anaknya meninggal dunia kerana sesak nafas.

Menurutnya keraguan itu berpunca daripada kesan lebam yang kelihatan pada mayat Sherol Aizam.

Beliau membuat permohonan di Mahkamah Tinggi di sini, untuk bedah siasat kedua dan pada 11 Sept lepas, mahkamah menolak permohonan itu.

Mohd Damanhuri yang ditemui pemberita ketika menuntut mayat anaknya di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini berkata beliau terpaksa membatalkan hasrat membawa kes anaknya ke Mahkamah Rayuan kerana dikhuatiri akan memakan masa lebih lama. — Bernama